NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS lebih berprinsip, tiada sebab untuk tinggalkan PAS



KUALA SELANGOR – Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang sebab untuk meninggalkan Pas sekali gus menepis spekulasi kononnya beliau bakal kembali ke pangkuan UMNO menerusi gagasan Rumah Bangsa.

Menurutnya, keputusan menyertai Pas dibuat selepas pertimbangan mendalam berdasarkan prinsip perjuangan yang ingin dibawanya, khususnya berkaitan kepentingan Islam dan orang Melayu.

“Tiada ada sebab untuk saya tinggalkan Pas untuk bersama Rumah Bangsa kerana UMNO masih dikawal oleh individu tertentu.

“Saya dapati UMNO tidak dikawal oleh prinsip perjuangan dan sehingga sekarang seorang individu yang menentukan hala tuju parti itu. Ini sangat berbeza dengan Pas di mana Majlis Syura menjadi keutamaan penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Jentera Badar Pilihan Raya Umum ke-16 Dewan Pemuda Pas Selangor di sini hari ini.

Annuar berkata, sebelum ini beliau menerima beberapa panggilan daripada rakan-rakan yang mengajaknya bersama inisiatif Rumah Bangsa yang dicetuskan oleh UMNO.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan telah membuat keputusan untuk terus istiqamah bersama Pas selepas menyertai parti itu sejak Jun 2023.

Tambahnya, beliau menghargai pelawaan terbuka daripada kepimpinan UMNO sebelum ini, namun pendiriannya kekal untuk bersama Pas.

Menurut Annuar, pengalaman yang dilaluinya ketika berada dalam UMNO sebelum ini membuatkan beliau merasakan parti itu masih belum berubah dari segi pendekatan dan budaya politik.

Beliau mendakwa perhitungan politik dalam UMNO masih berkisar kepada soal kuasa dan kepentingan material, berbanding perjuangan yang berteraskan prinsip.

Sebaliknya, katanya, Pas lebih menekankan prinsip syura serta pertimbangan berasaskan syariat dan tuntutan agama dalam membuat keputusan, sesuatu yang menurutnya selari dengan idealisme perjuangan yang ingin diteruskannya.

Sehubungan itu, Annuar menegaskan beliau akan terus kekal bersama Pas dan tidak melihat sebarang sebab untuk meninggalkan parti berkenaan pada masa ini. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo