KOTA KINABALU - Jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah perlu diperkukuh dan digerakkan lebih awal sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang termasuk Pilihan Raya Umum (PRU).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, antara amanat Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah menekankan kepentingan kesiapsiagaan jentera parti selain memastikan ahli memahami isu-isu penting berkaitan Sabah.
Menurutnya, antara perkara yang ditekankan ialah supaya jentera parti bersiap sedia menghadapi PRU serta meningkatkan kefahaman dalam kalangan ahli berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri.
"Antaranya, Perdana Menteri memohon supaya jentera parti ini dapat bersedia untuk menghadapi PRU dan juga beliau meminta supaya ahli-ahli parti memahami apa isu yang berkaitan dengan MA63 termasuk isu 40 peratus, seperti yang saya telah jelaskan sebelum ini.
"Mini konvensyen ini antaranya juga untuk kita kumpul kembali semangat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semua pun sudah maklum bahawa kita hanya dapat satu kerusi saja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mini Konvensyen PKR Sabah yang turut dihadiri Anwar di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, dalam program tersebut turut diadakan perasmian serentak Mesyuarat Agung Tahunan yang sedang berjalan ketika ini.
"Selain itu, kita juga telah menerima sembilan ahli baru terdiri dari tokoh-tokoh masyarakat," katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan pertemuan antara Perdana Menteri bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu pada tengah hari, hanya melibatkan perbincangan biasa berkaitan pembangunan dan projek-projek di Sabah.
Menurutnya, isu tuntutan 40 peratus hasil negeri kepada Sabah turut disentuh secara ringkas dalam pertemuan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.
"Ada juga disentuh sedikit, tetapi itu lebih baik ditanya kepada Ketua Menteri. Saya tidak boleh bercakap bagi pihak beliau.
"Apa yang disebut oleh Perdana Menteri lebih kurang seperti yang saya nyatakan," katanya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment