KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengutuk keras Amerika Syarikat (AS) dan Israel susulan pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang didakwa terkorban dalam satu serangan ke atas negara itu.
Hadi menyifatkan tindakan tersebut sebagai kezaliman yang jelas melanggar norma keadilan sejagat serta mengancam keselamatan, kestabilan dan kedaulatan Iran.
“Pas mengecam serangan Amerika Syarikat dan Israel yang telah mengorbankan nyawa Ayatollah Ali Khamenei, Pemimpin Tertinggi Iran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, serangan ganas itu menyasarkan lokasi strategik di Iran termasuk kawasan yang mempunyai kaitan dengan kepimpinan tertinggi negara berkenaan.
Beliau turut memetik firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 23 yang bermaksud: “Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikan mereka kepada Allah.
Maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah sedikit pun (apa yang dijanjikan).”
Hadi berkata, ayat tersebut menggambarkan pengorbanan golongan beriman yang tetap teguh mempertahankan janji mereka walau berdepan risiko nyawa.
Dalam kenyataan sama, beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Khamenei atas tragedi berkenaan.
“Pas mengucapkan takziah kepada keluarga Ayatollah Ali Khamenei atas tragedi ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya dan dikurniakan ganjaran syahid di sisi Allah,” ujarnya.
Beliau turut menggesa seluruh masyarakat antarabangsa supaya bersatu mengutuk tindakan yang didakwanya sebagai pengecut dan tidak berperikemanusiaan.
“Seluruh dunia perlu bersatu mengutuk AS dan Israel yang bukan sahaja merupakan dalang di sebalik serangan ini, malah sedang melakukan jenayah perang di rantau Timur Tengah,” tegasnya.
Saluran penyiaran milik kerajaan Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), pagi ini mengumumkan ‘Khamenei telah syahid’ sekaligus mengesahkan spekulasi kematian pemimpin tertinggi itu.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump dan Israel mendakwa Khamenei maut dalam serangan bersama yang dilancarkan ke atas negara itu.
Sebelum Washington dan Tel Aviv mendakwa Khamenei terbunuh dalam operasi ketenteraan mereka, namun pihak berkuasa Tehran menafikan kenyataan tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada perang psikologi terhadap republik Islam itu. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment