KUALA LUMPUR – Beberapa kes berprofil tinggi dijadual didengar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan di Istana Kehakiman, Putrajaya sepanjang minggu depan.
Pagi esok, di Mahkamah Tinggi di sini, Hakim Alice Loke Yee Ching akan mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman pemula seorang bekas menteri yang mencabar keabsahan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun.
Saman pemula itu difailkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 sebagai tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.
Pada 10 Oktober tahun lalu, Anwar, 78, memohon membatalkan saman pemula tersebut atas alasan tindakan itu melanggar pelbagai prosedur perlembagaan dan berkanun lain.
Sementara itu, pada pukul 2 petang, Mahkamah Tinggi berlainan akan menyambung perbicaraan kes saman SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan kembali RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada akaun syarikat induk itu.
Pada 11 Februari lalu, Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan mendengar keterangan Mejar Jeneral (B), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Dalam keterangannya, saksi berkenaan berkata, keluarga diraja Arab Saudi berhasrat memberikan sumbangan dana menerusi akaun peribadi bekas Perdana Menteri bagi melancarkan perjalanan politik bekas Perdana Menteri pada 16 tahun lalu.
Ujar Jamil Khir, Almarhum Raja Abdullah memaklumkan sendiri kepada bekas Perdana Menteri dalam satu pertemuan tidak rasmi di istana baginda di Riyadh pada 11 Januari 2010.
Sementara itu pada Selasa ini, Mahkamah Sesyen di sini menyambung perbicaraan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang dihadapi bekas Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.
Minggu lalu, Hakim Azura Alwi mendengar keterangan ahli perniagaan Datuk Seri G. Gnanaraja yang menegaskan, beg mengandungi wang RM1 juta diserahkan kepada Guan Eng di Publika namun tidak mengingati lokasi yang tepat.
Dalam pada itu, pada Selasa juga, Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar rayuan akhir Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang memutuskan kes rasuah projek solar hibrid terhadapnya.
Prosiding yang sepatutnya didengar minggu lalu ditangguhkan selepas isteri bekas Perdana Menteri mengalami kecederaan di tangan dan lutut akibat terjatuh.
Rayuan itu akan didengar oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama-sama Datuk Che Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar.
Mohamed Zaini (kini Hakim Mahkamah Rayuan) sebelum ini, menjatuhkan Rosmah, 75, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga pertuduhan rasuah bernilai RM1.25 billion.
Pada Khamis pula, Mahkamah Sesyen di sini menetapkan prosiding kes balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette A Samad yang menghadapi tiga pertuduhan subahat rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Pada 24 Disember tahun lalu, Zizie Izette memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya tiga pertuduhan bersubahat itu digugurkan.
Difahamkan, Zizie Izette, 48, membuat permohonan berkenaan tiga minggu selepas kematian Bung Moktar. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment