NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kembali ke UMNO, KJ mohon aktifkan semula keahlian



BANGI, 26 RAMADAN – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin semalam menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam catatan di Facebooknya, hari ini, beliau yang lebih dikenali sebagai KJ berterima kasih kepada Presiden UMNO yang menerima kunjungannya atas semangat Rumah Bangsa pada bulan Ramadan yang mulia.

Menurut KJ, jiwa besar presiden membolehkannya diterima kembali ke UMNO, satu-satu parti yang dikenalinya.

Beliau juga melahirkan penghargaan terhadap keterbukaan dan kebesaran hati Ahmad Zahid membuka ruang kepadanya untuk melangkah ke hadapan demi memperkukuhkan perjuangan parti. 

“Atas semangat Rumah Bangsa, saya telah secara rasminya memohon agar pemecatan keahlian saya dari UMNO dibatalkan dan nombor keahlian asal saya diaktifkan semula. 

“Saya harap Presiden UMNO, Majlis Tertinggi UMNO dan Jawatankuasa Rumah Bangsa dapat mempertimbangkan hasrat saya dengan sewajarnya. 

Menurut KJ, ketika politik tanah air berdepan ketidaktentuan dan lautan bergelora, sangat penting bagi UMNO yang disifatkan sebagai bahtera perjuangan bangsa yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk seluruh rakyat Malaysia diperkuatkan. 

Selain itu, katanya tiada syarat, hajat peribadi atau permintaan untuk kembali kepada UMNO dan secara berkias hanya mahu menjadi ahli biasa dengan berkata: “Cukuplah untuk saya diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa.” 

Sementara itu Ahmad Zahid menerusi laman sosial Facebook, menyifatkan kehadiran KJ dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan sebagai antara makna sebenar inisiatif Rumah Bangsa.

Jelasnya, Rumah Bangsa merupakan sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan, dan menghimpunkan semula ahli-ahli UMNO dalam satu keluarga besar perjuangan.

“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya.

“Dalam perjalanan perjuangan ini, seperti yang sering saya sebut – biduk lalu, kiambang bertaut.

“Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita,” katanya.


Sumber | TV Pertiwi



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo