PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat dan Israel yang telah melancarkan serangan dan pencerobohan terhadap Republik Islam Iran, hari ini.
Serangan yang dilancarkan ketika proses rundingan sedang berjalan adalah amat dikesali, dan jelas melanggar norma keadilan sejagat, malah merupakan suatu bentuk jenayah perang yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa serta piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malah serangan ini menyerlahkan sikap sebenar Amerika Syarikat dan sekutunya Israel sebagai pengganas yang tidak mempedulikan undang-undang dan nilai kemanusiaan sejagat.
PAS menuntut ketegasan di pihak Majlis Keselamatan PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk segera menghentikan tindakan tidak bertamadun ini, serta mengecam keangkuhan Amerika Syarikat, sekutu kuat regim haram Israel, terhadap situasi terkini yang boleh mengancam prospek keamanan dunia.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 10 Ramadan 1447 / 28 Februari 2026


No comments
Post a Comment