
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines membatalkan beberapa penerbangan ke dan dari Doha (DOH), Jeddah (JED) dan Madinah (MED) hari ini hingga 1 Mac 2026 sebagai langkah berjaga-jaga susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat berikutan perkembangan keselamatan serantau yang semakin memuncak.
Malaysia Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan, penerbangan yang terjejas adalah MH160 (KUL–DOH), MH156 (KUL–JED), MH158 (KUL–MED), MH159 (MED–KUL), MH161 (DOH–KUL), MH164/MH165 (DOH–KUL) serta MH157 (JED–KUL).
“Penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan dan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif. Penerbangan ke destinasi yang terjejas kekal digantung sementara menunggu penilaian keselamatan,” menurut kenyataan itu.
Syarikat penerbangan itu turut menasihatkan penumpang supaya mengemas kini butiran perhubungan menerusi ‘My Booking’ bagi menerima maklumat terkini.
Bantuan juga disediakan melalui Live Chat di laman sesawang syarikat atau Pusat Perhubungan Global Malaysia Airlines di talian 1 300 88 3000 (Malaysia) atau +603 7843 3000 (antarabangsa).
Sementara itu, penerbangan MH4 Kuala Lumpur (KUL)–London (LHR) dan MH20 Kuala Lumpur (KUL)–Paris Charles de Gaulle Airport (CDG) kekal beroperasi mengikut jadual ketika ini melalui laluan alternatif merentasi ruang udara Afghanistan yang jauh dari zon konflik terjejas.
“Malaysia Airlines akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai. Keselamatan penumpang dan kru kekal menjadi keutamaan tertinggi kami,” tambah kenyataan itu.
Sumber | BuletinTV3

No comments
Post a Comment