NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PBB gesa Iran, Israel dan AS kembali ke meja rundingan

Volker Turk. – Foto AFP

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan di Asia Barat hari ini dan menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, berkata konflik membabitkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) itu hanya akan membawa kepada kematian, kemusnahan dan penderitaan manusia.

“Saya mengecam serangan ketenteraan di seluruh Iran pagi ini oleh Israel dan AS serta serangan balas susulan oleh Iran.

“Seperti biasa, dalam mana-mana konflik bersenjata, orang awam yang akhirnya membayar harga paling mahal.

“Bom dan peluru berpandu bukan cara untuk menyelesaikan perbezaan, sebaliknya hanya mengakibatkan kematian, kemusnahan dan penderitaan manusia.

“Bagi mengelakkan akibat buruk ini terhadap orang awam, saya menyeru agar semua pihak menunjukkan kawalan diri dan berfikir secara rasional, mengurangkan ketegangan serta kembali ke meja rundingan yang hanya beberapa jam sebelum ini sedang aktif mencari penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, jika keadaan terus memuncak, konflik boleh menjadi lebih besar dan menyebabkan lebih banyak kematian serta kemusnahan di seluruh Asia Barat.

Pada Khamis, wakil AS dan Iran mengadakan rundingan tidak langsung di Geneva melalui pengantara Oman berhubung program nuklear Tehran, hanya beberapa kilometer dari pejabat Turk di bandar Switzerland itu.

Turk mengingatkan semua pihak bahawa perlindungan orang awam adalah keutamaan dalam konflik bersenjata dan menegaskan bahawa mereka yang melanggar undang-undang perang mesti dipertanggungjawabkan. – AFP

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo