KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mengingatkan percubaan pihak tertentu menimbulkan ketakutan terhadap Pas kononnya parti itu seolah-olah `radikal Islam’ tidak akan berjaya.
Menurut beliau, Pas tidak akan mampu menubuhkan sebuah negara Islam dengan model pentadbiran `ala-Taliban’ dengan kedudukan dan fungsi Raja-Raja Melayu yang ada ketika ini.
Selain itu, ujar Zaid yang merupakan ahli UMNO Cawangan Bukit Damansara, Malaysia juga mempunyai Perlembagaan yang bersifat sekular dengan kerangka yang telah lama kukuh.
Malah, tambahnya, mahkamah-mahkamah tertinggi negara juga sentiasa menegaskan negara ini ialah sebuah demokrasi berperlembagaan, selain undang-undang syariah pula tidak terpakai kepada bukan Islam.
“Hanya revolusi bersenjata boleh mengubahnya dan Pas seperti mana-mana parti lain di negara ini tidak mempunyai hasrat untuk melancarkan revolusi bersenjata,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu, tambah Mohd Zaid, Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara Islam, iaitu istilah yang sering digunakan untuk menakut-nakutkan bukan Islam sekiranya Pas memerintah.
Dakwa beliau, sekiranya masih ada yang bertegas dengan pemahaman sebegitu, maka mereka tidak berbeza daripada apa yang pernah digunakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta perdana menteri lain untuk meraih undi.
Dalam masa sama, ujarnya, Pas atau lebih dikenali bukan Islam sebagai `parti bulan’ tidak boleh memenangi lebih 60 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum (PRU), sekali gus perlu bergabung untuk menjadi kerajaan.
“Adakah Pas akan memimpin gabungan menjadi kerajaan yang lebih baik? Mungkin iya, mungkin tidak. Hanya masa yang menentukan,” katanya.
Namun, ujar beliau, dalam situasi negara hari ini berdepan pelbagai isu seperti kehilangan ratusan bilion akibat rasuah; kejadian jenayah yang semakin membimbangkan; `mafia korporat’ yang bermaharajalela dan pemimpin yang dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan di mahkamah, adalah wajar Pas diberi peluang untuk mentadbir negara. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment