BANGI, 9 JAMADILAKHIR — Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil dari PAS sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka menyaksikan parti itu buat kali pertama menganggotai barisan pentadbiran negeri bersama Barisan Nasional (BN).
Muhammad Ridzuan Sarif adalah antara 10 ADUN yang hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai EXCO bagi membentuk barisan pentadbiran baharu Melaka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Sabtu lalu.
Selain Muhammad Ridzuan yang bertanding dalam PRN Melaka atas tiket Perikatan Nasional (PN), sembilan lagi EXCO terdiri daripada tujuh ADUN UMNO, masing-masing seorang ADUN MCA dan MIC.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia berlangsung di Dewan Utama Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
Mendahului senarai ialah ADUN Merlimau yang juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, diikuti ADUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; ADUN Telok Mas, Datuk Abd Razak Abd Rahman dan ADUN Asahan, Datuk Dr Fairul Nizam Roslan.
Turut mengangkat sumpah ialah ADUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; ADUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong; ADUN Gadek, S Nadarajah dan ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Wakil wanita dalam barisan EXCO ialah ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar.
Istiadat berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan melengkapkan pembentukan barisan pentadbiran negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh.
Pelantikan itu menyaksikan lima penyandang EXCO dikekalkan iaitu Muhamad Akmal, Rais, Abd Razak, Fairul Nizam dan Hameed Mytheen, manakala empat muka baharu ialah Mohd Ridhwan, Nadarajah, Khaidirah dan Muhammad Ridzuan.
Lim Ban Hong pula kembali menjawat jawatan EXCO.
Pembentukan barisan EXCO itu juga menjadi langkah penting bagi merealisasikan 113 inisiatif yang digariskan dalam manifesto BN-PN, selain memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara tersusun.
Pada PRN Melaka ke-16, Sabtu lalu, BN-PN memenangi 24 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh empat kerusi.
Ab Rauf kemudian mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua pada Ahad lalu.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment