KUALA LUMPUR – Balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette A Samad memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya tiga kes subahat rasuah berjumlah RM2.8 juta dihadapinya, digugurkan.
Peguam, Datuk Seri K Kumaraendran yang mewakili pelakon drama ‘Hero Seorang Cinderella’ itu mengesahkan perkara berkenaan.
"Kes dihadapi Datin Seri Zizie Izette ditetapkan untuk pengurusan kes pada 16 Januari ini," katanya ketika dihubungi media pada Isnin.
Difahamkan, Zizie Izette, 48, membuat permohonan berkenaan pada 24 Disember tahun lepas, iaitu tiga minggu selepas kematian Bung Moktar.
Berikutan itu, pembelaan menghantar surat kepada Mahkamah Sesyen bertarikh 5 Januari lalu, supaya tarikh perbicaraan selama tiga hari bermula Isnin, dilapangkan sementara menunggu keputusan surat representasi daripada AGC.
Berdasarkan semakan laman web mahkamah, perbicaraan pada peringkat bela diri sepatutnya berlangsung selama tiga hari, ditangguhkan ke tarikh lain.
Hakim, Rosli Ahmad menangguhkan prosiding ke Jumaat ini, bagi pengurusan kes berkenaan.
Pada 13 November 2025, mahkamah sama membenarkan perbicaraan kes dihadapi Bung Moktar ditangguhkan kerana beliau bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada 29 November tahun lalu.
Prosiding yang sepatutnya berlangsung pada 27 November dan 3 Disember ditangguhkan ke 12 hingga 14 Januari.
Bagaimanapun, Ketua UMNO Sabah itu disahkan meninggal dunia pada jam 1.46 pagi 5 Disember 2025 lalu selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.
Pada 3 Mei 2019, Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya, memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 38 tahun.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, di mana kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan serupa.
Zizie Izette juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan yang sama.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment