NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wanita UMNO Kedah gesa had kerjasama politik, tolak DAP



KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Kedah menegaskan pendirian supaya kerjasama politik parti itu dalam Kerajaan Perpaduan tidak menjejaskan kekuatan dan kelangsungan UMNO di peringkat negeri khususnya di Kedah yang mempunyai realiti politik tersendiri.

Ketua Wanita UMNO Langkawi, Hisham Suhaily Othman berkata, walaupun Wanita UMNO menyokong penyertaan parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, gabungan tersebut perlu mempunyai garis sempadan yang jelas agar tidak melemahkan parti.

Menurutnya, kekeliruan peringkat akar umbi semakin ketara susulan pelbagai pandangan berbeza mengenai hala tuju UMNO termasuk cadangan supaya parti menyertai Muafakat Nasional atau kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

“Wanita Kedah mahukan UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan tetapi gabungan itu tidak boleh sampai menyebabkan parti rebah.

“UMNO bukan pelengkap di tepi gantang dan garis merah tidak boleh dilanggar,” katanya ketika membahaskan usul politik pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2025.

Hisham Suhaily berkata, antara punca utama kemerosotan sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Kedah ialah sentimen pengundi Melayu yang masih melihat DAP sebagai musuh politik.

Ia katanya telah menjejaskan penerimaan terhadap kerjasama BN–Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

“Di Kedah, jika mahu menang dan mendapatkan semula sokongan rakyat, DAP bukan pilihan kami,” katanya sambil menegaskan pendekatan politik tidak boleh diseragamkan antara negeri.

Beliau turut mendakwa, hubungan BN–PH di Kedah tidak seimbang termasuk dalam soal perkongsian kuasa dan pelantikan jawatan berkaitan kerajaan negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jawatan GLC di Kedah tidak dikongsi secara adil. Contohnya di Langkawi, tiada wakil daripada kalangan BN dilantik. Ini menimbulkan persoalan tentang keikhlasan perkongsian kuasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hisham Shuhaily yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia  menggesa pucuk pimpinan parti supaya mempertahankan kerusi-kerusi tradisi UMNO dan BN yang dikenal pasti berpotensi dimenangi serta tidak mengorbankan kawasan tersebut dalam rundingan politik.

Cadang beliau, proses bancian sikap pengundi dinilai semula dan ditambah baik kerana kaedah sedia ada disifatkan tidak lagi selari dengan perubahan landskap politik semasa.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada andaian. Keputusan di lapangan sering tidak mencerminkan dapatan bancian,” katanya.

Selain isu pilihan raya, beliau mengingatkan jentera parti supaya memperkemas penguasaan media sosial secara lebih strategik dan berdisiplin termasuk menghentikan budaya menyerang sesama sendiri yang hanya memberi keuntungan kepada pihak lawan.

Mengulas pembangunan kepimpinan wanita, beliau mencadangkan penubuhan Sekretariat Wanita Muda sebagai platform melatih pelapis kepimpinan wanita, selain menjadi jambatan antara Wanita UMNO, Puteri UMNO dan wanita muda di luar struktur parti.

“Sekretariat ini bukan untuk menyaingi sesiapa, tetapi bagi mengukuhkan parti dengan menyediakan ruang latihan, pembelajaran dan kepimpinan kepada wanita muda,” katanya.

Beliau menegaskan Wanita UMNO Kedah kekal komited memperkukuh parti dan bertekad merampas semula Kedah pada pilihan raya akan datang dengan berpaksikan kehendak akar umbi serta realiti politik tempatan. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo