BANGI, 3 SYAABAN – Ujian diagnostik atau saringan menentukan kelayakan kanak-kanak berumur enam tahun masuk sekolah adalah satu pelanggaran prinsip asas pendidikan awam.
Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata ujian diagnostik hanya digunakan bertujuan mengenalpasti keperluan murid, bukan bertujuan mendiskriminasikan murid.
“Malah istilah ujian dianogstik adalah tidak tepat untuk situasi ini. Sebenarnya, yang dimaksudkan dalam situasi ini ialah ujian kelayakan yang bersifat pemilihan melalui amalan isihan (discriminate).
“Mana mungkin anak-anak yang baru berumur lima tahun diberikan ujian kelayakan untuk menentukan mereka boleh masuk tahun satu atau tidak,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dr Anuar turut mempersoal apa asas kelayakan masuk kanak-kanak berusia enam tahun masuk Tahun Satu.
“Layak masuk atas asas apa? kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M)? Anak-anak ini belum masuk pendidikan formal lagi. Mengapa diukur kemahiran 3M mereka,” katanya.
Menurut Dr Anuar lagi, jika diukur dari asas kestabilan emosi tiada teori perkembangan kanak-kanak yang boleh mengesahkan anak-anak berusia lima tahun mempunyai kestabilan emosi.
“Atas asas kestabilan emosi? Anak-anak yang akan ambil ujian nanti baru berumur lima tahun. Tidak ada teori perkembangan kanak-kanak yang boleh mengesahkan anak-anak lima tahun mempunyai kestabilan emosi.
“Atas asas keupayaan kognitif atau cara fikir? Pada usia lima tahun, pembangunan kognitif kanak-kanak masih belum lengkap sepenuhnya. Kognitif anak-anak ini masih lagi pada peringkat pra perkembangan kognitif yang konkrit.
“Keupayaan kognitif pada tahap ini sangat dipengaruhi oleh status sosio ekonomi keluarga, latar belakang pendidikan ibubapa yang dan sokongan kemudahan di rumah seperti gajet, internet, buku.
“Misalnya,tahap keupayaan kognitif (yang belum lengkap ini) berbeza antara anak-anak miskin dan anak-anak yang kaya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Dr Anuar berkata tindakan melaksanakan ujian diagnostik atau saringan (sebenarnya ujian kelayakan) adalah tidak adil pada kanak -kanak seusia lima tahun.
“Pendidikan awam wajib bersifat Inklusif dan tidak boleh sama sekali bersifat eksklusif. Menafikan hak kanak-kanak umur enam tahun masuk sekolah di saat sebahagian kanak-kanak yang lain dibenarkan masuk adalah bercanggah dengan prinsip keadilan pendidikan, sifat kemanusiaan dan aspirasi falsafah pendidikan negara.
“Ini satu pelanggaran serius kepada prinsip keadilan akses pendidikan dan usaha untuk merapatkan jurang pendidikan. Malah jelas satu pelanggaran kepada hak asasi pendidikan asas untuk semua kanak-kanak,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment