NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Samakan Malaysia dengan rejim apartheid boleh dikenakan tindakan undang-undang



BANGI, 25 REJAB – Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Shahrul Mizan Ismail, berkata pelbagai tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang menyamakan Malaysia dengan sebuah rejim apartheid.

Menurutnya, tindakan jenayah boleh diambil mengikut Akta Hasutan 1948 dengan Seksyen 3 mentakrifkan kecenderungan menghasut, termasuk perbuatan yang membangkitkan kebencian atau penghinaan terhadap kerajaan atau yang berpotensi menimbulkan perasaan tidak setia dalam kalangan rakyat.

Katanya, Seksyen 4 pula memperuntukkan kesalahan bagi perbuatan mengucapkan, menerbitkan atau menyebarkan perkara yang berkecenderungan menghasut.

Katanya, Mahkamah Persekutuan dalam Public Prosecutor v Azmi Sharom (2015) 6 MLJ 751 menegaskan bahawa Akta Hasutan merupakan undang-undang yang sah di sisi Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Menyamakan Malaysia dengan apartheid boleh dihujahkan sebagai satu bentuk delegitimasi terhadap sistem perlembagaan dan institusi negara, khususnya apabila ia berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

 Dr Shahrul Mizan berkata, kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan yang memudaratkan keharmonian masyarakat majmuk wajar diberi perhatian serius.

Katanya, Seksyen 504 dan 505 bukan satu-satunya peruntukan relevan dengan Seksyen 153A Kanun Keseksaan, yang menyentuh perbuatan mempromosikan permusuhan antara kumpulan atas alasan agama, kaum atau asal-usul, walaupun jarang digunakan, tetap wujud sebagai undang-undang bertulis. 

“Naratif yang meletakkan Malaysia sebagai negara apartheid berpotensi menyalakan sentimen perkauman jika ia dikaitkan dengan struktur etnik dan perlembagaan negara. 

“Dalam analisis undang-undang, yang penting bukan niat tersurat semata-mata, tetapi kecenderungan objektif ucapan tersebut untuk menjejaskan keharmonian sosial,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan berkaitan ketenteraman awam di bawah Bab VIII Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 505(b) dan peruntukan berkaitan kenyataan yang boleh mencetuskan kegusaran awam, membolehkan tindakan apabila ucapan tersebut beroperasi sebagai “trigger speech”.

Katanya, mahkamah telah lama menegaskan bahawa negara berhak bertindak sebelum keganasan tercetus, dan tidak perlu menunggu sehingga kerosakan sebenar berlaku dengan prinsip pencegahan ini selari dengan doktrin keselamatan awam dalam undang-undang perlembagaan.

Selain itu, katanya Seksyen 499 hingga 502 Kanun Keseksaan masih berkuat kuasa dan tidak pernah dimansuhkan oleh Parlimen.

“Menuduh sesebuah negara beroperasi sebagai rejim apartheid membawa imputasi serius terhadap individu-individu tertentu yang memegang jawatan awam dan institusi perundangan yang boleh dikenal pasti.

“Dalam undang-undang jenayah fitnah, isu utama ialah sama ada imputasi itu dibuat dengan pengetahuan atau alasan untuk mempercayai bahawa ia akan mencemarkan reputasi, bukan sama ada ia dibungkus sebagai “kritikan politik”,” katanya. 

Dari sudut undang-undang sivil, katanya tindakan fitnah bukan satu-satunya remedi dengan tuntutan tort salah guna proses awam dan tort kecuaian dalam penerbitan boleh dipertimbangkan dalam keadaan tertentu.

Katanya, ini terutama apabila seseorang bertindak tanpa usaha wajar untuk mengesahkan fakta, menggunakan istilah ekstrem perundangan, dan mengetahui bahawa kenyataan tersebut akan diterbitkan serta disebarkan secara meluas.

Dalam tradisi `common law’, katanya kecuaian intelektual dalam penerbitan bukan konsep asing, walaupun ambang pembuktiannya tinggi.

Sementara itu, katanya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak terhad kepada hanya Seksyen 233.

“Penyebaran kandungan yang berpotensi memudaratkan keharmonian nasional melalui platform berlesen membuka ruang tindakan pengawalseliaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia terhadap penyedia perkhidmatan, termasuk arahan pemadaman, sekatan kandungan, atau tindakan pentadbiran lain.

Malah, katanya dalam analisis perundangan, tindakan pentadbiran sering lebih pantas dan berkesan berbanding pendakwaan jenayah.

Selain itu, katanya undang-undang pentadbiran dan etika profesional kewartawanan merupakan laluan tindakan yang sah, walaupun bukan bersifat jenayah.

“Aduan kepada badan kawal selia, lembaga editorial, atau mekanisme disiplin dalaman boleh mencetuskan siasatan, penemuan salah laku profesional, dan sekatan terhadap individu berkenaan. Dalam teori undang-undang awam, akauntabiliti tidak semestinya datang dalam bentuk pendakwaan; kadangkala ia hadir melalui sekatan institusi dan reputasi,” katanya.

Dari sudut undang-undang antarabangsa, katanya ironi terbesar dalam analogi apartheid ialah ia berpotensi menjadi penyalahgunaan konsep undang-undang antarabangsa itu sendiri.

Katanya, menggunakan istilah jenayah terhadap kemanusiaan tanpa asas perundangan dan fakta yang sah boleh ditafsirkan sebagai trivialisation of international crimes.

“Walaupun Malaysia tidak memperuntukkan kesalahan khusus bagi perkara ini, ia menguatkan hujah bahawa kenyataan tersebut dibuat secara tidak bertanggungjawab dan menyokong justifikasi sekatan di bawah Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Sumber | TV Pertiwi





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo