NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peringatan untuk Selangor: Kisah babi dan virus Nipah Bukit Pelanduk



BANGI, 24 REJAB – Lebih dua dekad selepas wabak virus Nipah memusnahkan Bukit Pelanduk pada tahun 1998 – 1999, tragedi itu kekal sebagai peringatan paling jelas mengenai risiko apabila penternakan babi berkembang lebih pantas daripada kawalan kesihatan awam dan alam sekitar.

Ketika itu, Bukit Pelanduk di Port Dickson adalah pusat penternakan babi yang bukan saja terbesar di Negeri Sembilan dan Malaysia, malah di Asia Tenggara. Ratusan ladang kecil hingga sederhana beroperasi rapat antara satu sama lain, iaitu kurang daripada 100 meter.

Satu kajian lapangan mencatatkan bahawa antara 300 hingga 500 ladang di Kampung Sungai Nipah dan Bukit Pelanduk, masing‑masing mempunyai antara kira‑kira 50 hingga 3,000 ekor babi setiap ladang.

Ladang babi dengan binaan separa batu dan kayu mengelilingi rumah penternak. Sisa najis dan bahan buangan dari kandang mengalir terus ke parit dan sungai.

Ketika itu, penternakan babi di situ berkembang pesat didorong permintaan pasaran dan pulangan ekonomi. Bukan untuk memenuhi pasaran domestik, tetapi menjana eksport ke negara lain.

Menurut laporan Pertubuhan Makanan Sedunia (FAO), Malaysia mengeksport babi hidup ke Singapura dan Hong Kong. Apabila wabak Virus Nipah tercetus, kerugian akibat terhentinya perdagangan eksport dianggarkan sekitar AS$120 juta.

Nilai penternakan yang besar dapat dilihat di Bukit Pelanduk. Sebelum wabak itu melanda, pekan kecil di Port Dickson yang bersempadan Sepang, Selangor, mempunyai antara tiga hingga empat bank. Ini menunjukkan betapa banyak dan besar urusan penyimpanan dan pengeluaran wang membabitkan penternakan babi di situ.

Wabak melanda penternakan babi 

Wabak virus Nipah berpunca daripada penternakan babi berskala besar di kawasan Bukit Pelandok dengan ladang dibina berhampiran kebun buah-buahan yang sengaja ditanam untuk sumber pendapatan tambahan.

Keadaan ini menarik kelawar buah, perumah semula jadi virus Nipah untuk mencari makanan di kebun buah berhampiran ladang babi. Kelawar ini membawa virus tanpa menunjukkan simptom, tetapi air liur, air kencing dan sisa buah yang tercemar jatuh ke kawasan kandang babi.

Babi yang terdedah kemudian dijangkiti virus Nipah yang membiak dengan cepat dalam populasi babi yang padat. Babi bertindak sebagai haiwan perantara yang mempercepat dan memperkuat penularan virus. 

Virus Nipah kemudian menjangkiti manusia melalui hubungan rapat dengan babi, terutama dalam kalangan penternak, pekerja ladang, pemandu lori dan penyembelih.

Pada peringkat awal, penyakit ini disalah anggap sebagai Japanese Encephalitis (JE) kerana simptom neurologi yang hampir sama, menyebabkan langkah kawalan yang diambil ketika itu tidak tepat dan lambat.

Kes mula dikesan pada 1998 dan memuncak pada awal 1999. Dalam tempoh singkat, wabak itu meragut lebih 100 nyawa dan memaksa kerajaan melaksanakan operasi pemusnahan kira-kira sejuta ekor babi secara besar-besaran.

Kehancuran Bukit Pelanduk 

Keadaan di Bukit Pelandok ketika wabak virus Nipah melanda boleh digambarkan dengan satu perkataan, iaitu `kehancuran’ dari sudut kesihatan, ekonomi dan sosial masyarakat.

Wabak itu dikatakan bermula di Perak dan pada awal Januari 1999, virus maut itu dikesan merebak ke Negeri Sembilan Kesannya, tiga pekerja ladang ternakan babi di Sikamat, Seremban, mati selepas dimasukkan ke Hospital Seremban (HS) pada minggu pertama Januari. 

Serangan virus semakin menggila apabila menjangkiti ramai penduduk membuatkan keadaan negara ketika itu menjadi gempar. Kematian mula berlaku secara mendadak. Penternak dan pekerja ladang jatuh sakit dengan cepat, demam panas, sakit kepala teruk, kekeliruan, sawan, sebelum koma.

Jumlah angka korban meningkat kepada 31 penduduk menjelang pertengahan Mac. Seramai 47 orang lagi dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), HS, Hospital Kuala Pilah, Hospital Universiti (HU), Hospital Melaka (HM) dan beberapa hospital swasta.

Apabila virus Nipah dikenal pasti dan punca sebenar dikesan, suasana berubah menjadi panik terbuka.

Kerajaan mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon wabak. Sekatan jalan raya didirikan, keluar masuk dikawal. Anggota keselamatan, doktor haiwan dan pegawai kesihatan memakai pakaian perlindungan penuh, satu pemandangan asing dan menakutkan bagi penduduk luar bandar.

Operasi pemusnahan babi bermula. Ribuan kemudian jutaan ekor babi ditembak dan ditanam hidup-hidup dalam lubang besar. Bunyi tembakan, jeritan haiwan dan bau bangkai memenuhi udara.

Bukit Pelanduk berubah menjadi kawasan mati. Kedai dan sekolah tidak berfungsi. Rumah ditinggalkan. Ramai penduduk dipindahkan secara tergesa-gesa, ada yang melarikan diri tanpa sempat menyelamatkan harta. Nilai tanah jatuh menjunam. Hubungan sosial runtuh. Ada keluarga yang kehilangan lebih daripada seorang ahli serentak.

Apabila wabak berakhir pada awal tahun 2000, Bukit Pelandok mengambil masa bertahun-tahun untuk kembali bangkit, tetapi keadaan tidak pernah kembali seperti asal. 

Kesan wabak Nipah 

Pakar perubatan dan epidemiologi menegaskan bahawa wabak ini bukan sekadar bencana alam, tetapi hasil gabungan faktor manusia.

Kepadatan ladang, sanitasi yang lemah dan pengurusan sisa tidak sistematik mencipta persekitaran yang sesuai bagi kemunculan penyakit baharu. Tragedi itu menjadi rujukan antarabangsa tentang bahaya penyakit zoonotik yang berpunca akibat penternakan intensif tanpa kawalan menyeluruh.

Hari ini, apabila perdebatan mengenai peluasan atau penempatan semula penternakan babi di Selangor, ingatan terhadap Bukit Pelanduk muncul semula sebagai peringatan yang sukar diketepikan.

Kerajaan Selangor menegaskan bahawa ladang moden dengan teknologi rawatan sisa tertutup dan piawaian biosekuriti yang lebih ketat mampu mengurangkan risiko. Namun pengalaman lalu menunjukkan bahawa kehadiran teknologi tidak menjamin keselamatan jika penguatkuasaan dan pemantauan gagal berfungsi secara konsisten.

Selain virus Nipah, kebimbangan kesihatan awam lain turut wujud. Babi diiktiraf sebagai hos penting bagi beberapa patogen, termasuk JE yang penularannya bergantung kepada vektor nyamuk.

Apabila ladang terletak berhampiran kawasan penempatan, sawah padi atau ekosistem sensitif, risiko penularan penyakit bawaan vektor menjadi lebih kompleks dan sukar dikawal.

Isu ini juga berkait rapat dengan pencemaran alam sekitar. Najis dan sisa ternakan yang tidak dirawat dengan sempurna boleh mencemari sungai, tanah dan kawasan pesisir, menjejaskan sumber air serta mata pencarian komuniti seperti nelayan dan petani. 

Di beberapa kawasan, aduan penduduk mengenai bau busuk, lalat dan kualiti hidup yang merosot yang berlarutan bertahun-tahun, mencerminkan jurang antara perancangan dasar dan realiti di lapangan.

Bagi pakar kesihatan awam, tragedi virus Nipah di Bukit Pelanduk menekankan satu prinsip asas: pencegahan sentiasa lebih murah dan berkesan daripada tindak balas selepas krisis. 


Sumber | TV Pertiwi





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo