BANGI, 24 REJAB – Kegagalan untuk menangani isu binaan rumah ibadat haram di Malaysia bukan disebabkan kelompongan undang-undang, tetapi kelemahan dari aspek penguatkuasaan, kata peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla.
Bercakap dengan TV Pertiwi, Haniff berkata, binaan rumah ibadat secara haram di atas tanah milik kerajaan atau individu lain juga boleh ditafsirkan sebagai satu pencerobohan dan negara ini sebenarnya sudah mempunyai peruntukkan undang-undang yang jelas untuk menangani perkara tersebut.
Bagaimanapun, katanya, isu ini – khususnya melibatkan binaan rumah ibadat haram – menjadi rumit apabila ia dikategori sebagai isu sensitif kerana dikaitkan dengan kaum dan agama, sekali gus berpotensi mencetuskan reaksi tertentu dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, beliau menjelaskan bahawa perbuatan menetap di tanah tanpa kebenaran atau membina apa-apa struktur serta bangunan atau apa-apa sahaja bentuk pencerobohan tetap diklasifikasikan sebagai perbuatan menceroboh.
Justeru, katanya, apabila laporan polis dibuat maka agensi penguatkuasa itu adalah pihak yang sesuai untuk menyiasat kerana kesalahan menceroboh adalah jenayah di bawah Akta Kanun Keseksaan.
“Tetapi yang menjadi isu di sini ialah apabila pihak berkuasa yang menyelia isu-isu jenayah ini tidak mahu mengambil tindakan apabila ia berkait dengan isu agama atau bangsa.
“(Mereka) khuatir akan menimbulkan salah faham di pihak masyarakat. Tetapi yang anehnya, ketidak ambilan tindakan itu yang menampillkan salah faham bagi saya,” katanya kepada TV Pertiwi.
Mengulas lanjut, Haniff berkata, situasi ini bertambah buruk selepas penglibatan politik yang menjadikan ia seolah-olah isu perkauman dan agama.
Beliau berpandangan, kehadiran ahli politik dilihat lebih menambah masalah dan menyebabkan situasi yang berlaku berbaur politik, egoistik dan perkauman.
“Itu yang menyebabkan pihak pelaksana undang-undang menjadi lebih berhati-hati. Di peringkat ini, boleh nampak bahawa undang-undang tak salah. Undang-undang cukup,” ujarnya.
Justeru, Haniff berkata, pelaksana undang-undang perlu peka dan bersikap profesional dalam menjalankan tugas.
Katanya, tindakan perlu diambil tanpa mengira kaum dan agama untuk menjamin keadilan kepada semua.
“Mentaliti pihak berkuasa tentang isu prasangka atau prejudis dari sifat perkauman atau agama patut dikeluarkan daripada minda pelaksana undang-undang.
“Kalau ada tindakan diambil untuk menyiasat dan tindakan lanjutan sebagai tahanan atau pertuduhan di mahkamah dibuat, saya yakin majoriti rakyat Malaysia tanpa mengira agama ataupun bangsa akan setuju dengan pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab.
“Tetapi itu yang tidak berlaku,” tambah beliau.
Ditanya sama ada pemilik tanah persendirian berhak untuk merobohkan binaan struktur haram di atas tanahnya, Haniff menegaskan bahawa pilihan terbaik ialah membuat pengusiran melalui perintah mahkamah.
Pada masa sama, beliau tidak menafikan bahawa proses ini akan memakan masa, namun ia lebih menjamin kepada pendamaian.
“Dari segi undang-undang sivil, pemilik tanah boleh melantik peguam untuk pergi ke mahkamah.
“Terdapat peruntukan dalam kaedah-kadeah Mahkamah Tinggi yang dipanggil Aturan 89 iaitu cuba memperoleh perintah terus melalui saman pemula untuk pengosongan tanah yang diduduki oleh penceroboh.
“Perintah mahkamah ini perlu diikuti oleh semua pihak sama ada Perdana menteri mahupun polis atau pun orang biasa melainkan perintah itu dibatalkan atau diubah oleh mahkamah yang lebih tinggi,” jelasnya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment