BANGI, 24 REJAB – Datuk Idris Ahmad melahirkan perasaan pelik dengan kenyataan Presiden UMNO yang menyatakan parti itu bersedia mengundang PAS untuk bergabung dalam sebuah organisasi yang memfokuskan agenda Islam di luar politik dan cadangan itu pula diluluskan dalam Kabinet.
Naib Presiden PAS mempersoalkan kenyataan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan menyatakan sejak bila politik kepartian perlu mendapat kelulusan Kabinet.
“Lebih menarik, UMNO yang mempunyai kekuatan keahlian sekitar 3.5 juta orang, kenapa agenda politiknya sebagai “Abang Long” perlu meminta izin Kabinet?
“Tambahan pula, Kabinet tersebut dianggotai menteri-menteri DAP. Ahli UMNO sendiri tentu faham bagaimana pandangan DAP terhadap UMNO dan agenda Islam. Tahu sama tahu lah,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Idris menegaskan PAS kekal dengan prinsipnya, berjuang di pentas demokrasi, bercakap soal Islam tanpa perlu kelulusan sesiapa, dan menyerahkan penilaian akhir kepada rakyat.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO bersedia menjemput PAS untuk sama-sama bergabung dalam sebuah organisasi yang memfokuskan agenda Islam, di luar lingkungan politik seperti Multaqa Ilmuwan Islam.
Bagaimanapun, katanya pengumuman berhubung organisasi itu akan dibuat pada hari terakhir persidangan Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu ini.
“Saya cadangkan untuk kita menubuhkannya dan Kabinet juga sudah meneruskannya dan saya akan umumkan,” katanya.
Sementara itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, Malaysia adalah negara demokrasi menyebabkan PAS dan UMNO tidak perlu dibubar, sebaliknya `berlawan’ di pentas demokrasi.
“Bukan berlawan bertumbuk atau baling kerusi. Itu budaya lain. Ha ha. Kita berlawan hujah, idea dan akhlak sebagai ahli politik. Biar rakyat menghakimi siapa yang layak mereka pilih,” katanya.
Menurutnya, PAS terus berkembang dan mendapat sokongan yang semakin meluas, terutama dalam kalangan anak muda dan golongan intelektual.
Dahulu, katanya PAS sering digambarkan hanya berada dalam ruang pengaruh pondok dan orang kampung, tetapi hari ini parti itu merentas sempadan pengaruh itu.
“PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) menyaksikan PAS memenangi 43 kerusi Parlimen, jumlah terbesar dalam Dewan Rakyat. Dulu PAS dilabel sebagai “dagang”, hari ini PAS menjadi pejuang dan harapan ummah,” katanya.
Beliau juga mengemukakan fakta pencapaian kerusi Parlimen UMNO dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) dengan parti itu berada di puncak pada PRU 2004 (109 kerusi) dan menurun secara berperingkat hingga hanya 26 kerusi pada PRU15.
Tanpa berniat untuk bersikap kasar terhadap UMNO, katanya masih ramai akar umbi UMNO yang ikhlas dan berminat bersama PAS dalam perjuangan perpaduan ummah.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment