BANGI, 1 SYAABAN – Kerajaan Selangor perlu meminda Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991 atau menggubal undang-undang baharu berikutan risiko tinggi wabak penyakit yang dikaitkan dengan industri penternakan babi.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff, berkata sejarah dan perkembangan semasa membuktikan penternakan babi sentiasa terdedah kepada penularan wabak berbahaya, termasuk yang meragut nyawa manusia serta mengakibatkan kerugian besar.
Beliau merujuk tragedi Virus Nipah pada 1998 dan 1999 yang dikesan bermula di Ipoh sebelum merebak ke Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, sehingga mengorbankan 105 nyawa, selain memaksa hampir sejuta ekor babi dimusnahkan dalam operasi besar-besaran.
“Virus Nipah berpunca dari kelawar, merebak kepada babi melalui makanan yang tercemar, dan akhirnya menjangkiti manusia. Ia membuktikan wabak berkaitan babi bukan isu remeh dan boleh membawa kesan kesihatan awam yang serius,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurutnya, wabak terbaharu African Swine Fever (ASF) yang menyerang ladang babi di Kuala Langat dan Sepang pada Mac 2025 turut membuktikan risiko berterusan industri berkenaan apabila ribuan ternakan itu terpaksa dihapuskan.
Beliau menegaskan bahawa kemajuan teknologi ladang tidak menjamin keselamatan sepenuhnya dari wabak, sambil merujuk kejadian ASF di Korea Selatan yang menular di ladang berteknologi tinggi di Dangjin serta ladang komersial berskala besar di Gangneung, Wilayah Gangwon, sehingga memaksa pihak berkuasa memusnahkan hampir 20,000 ekor babi.
“Fakta ini membuktikan penternakan babi adalah industri berisiko sangat tinggi dan perlu diurus dengan kawalan yang amat ketat, tanpa sebarang kelonggaran atau sikap ‘tutup sebelah mata’,” katanya.
Di Selangor, katanya usaha menukar penternakan tradisional kepada Modern Pig Farming (MPF) adalah langkah yang baik, namun tidak boleh dilaksanakan secara sambil lewa tanpa penguatkuasaan tegas dan rangka perundangan yang kukuh.
Menurutnya, Enakmen Pengawalan Penternakan Babi Selangor 1991 masih berfokus kepada penternakan tradisional, manakala pindaan pada 2010 hanya melibatkan aspek takrifan.
“Melalui enakmen sedia ada, denda maksimum akibat pencemaran dari ladang babi hanya RM10,000, malah kesalahan boleh dikompaun. Ini jelas tidak sepadan dengan risiko kesihatan awam dan alam sekitar,” katanya.
Sehubungan itu, PAS Selangor menggesa kerajaan negeri meminda undang-undang bagi mewajibkan pelaksanaan MPF, mengenakan tindakan tegas terhadap pelanggaran syarat, meningkatkan hukuman bagi kes pencemaran, menguatkuasakan prinsip ‘polluters pay’, serta mengetatkan aspek biosekuriti melibatkan ladang, pengangkutan dan pemprosesan.
Yusfarizal menegaskan tanpa pembaharuan perundangan yang tegas, usaha mempromosikan konsep `zero discharge’ (pelepasan sifar) disifatkan tidak realistik.
“Jika risiko wabak masih tinggi dan kawalan tidak diperkukuh, lebih baik import sahaja babi. Tidak berbaloi jika wabak besar kembali berlaku,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment