BANGI, 24 REJAB – PAS telah bersikap ‘move-on’ berhubung krisis politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Menteri Besar dari parti itu, Mohd Shukri Ramli.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, sama ada krisis itu perbuatan khianat atau sebaliknya, perbahasan mengenai perkara itu sudah terlalu panjang.
Sehubungan itu, katanya perkara itu tidak perlu lagi dipanjangkan di medan terbuka.
“PAS telah bersikap ‘move-on’ (melangkah ke hadapan) apabila semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) PAS hadir di majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baharu.
“Bahkan, PAS menyokong kerajaan Perlis yang baharu agar fungsi kerajaan negeri dan khidmat kepada rakyat dapat diteruskan,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.
Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, walaupun luka masih ada, beliau meminta usah lagi ditoreh dengan luka yang lain dan jangan ada lagi gunting dalam lipatan.
Menurutnya, sekarang adalah masa untuk mengalihkan senjata kepada musuh yang sebenar.
Kelmarin, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membuat kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan parti itu mengkhianati PAS dalam krisis politik di Perlis.
Muhyiddin berkata, Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah, memberi penerangan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kelmarin dan menyatakan pihak di Perlis tidak terbabit.
Sementara itu, Afnan Hamimi berkata, PAS menghormati keputusan mesyuarat MPT BERSATU yang menerima pendirian Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN.
“Pendirian ini mempermudahkan proses peralihan kepimpinan dalam PN yang akan diputuskan kelak. Selain itu, pendirian BERSATU untuk kekal sebagai rakan dalam PN tetap dihormati.
“Lagipun, bak kata seorang tokoh pujangga yang hebat sehari dua ini, hormat menghormati amalan mulia,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment