KUALA LUMPUR – Pas atau UMNO tidak perlu dibubar sebaliknya kedua-dua parti itu boleh bersaing di pentas demokrasi, selaras dengan prinsip Malaysia negara demokrasi.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, Pas dan UMNO boleh berlawan hujah, idea dan akhlak sebagai ahli politik, dan menyerahkan kepada rakyat untuk menghakimi siapa lebih layak untuk dipilih.
Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa syukur kerana Pas hari ini terus berkembang dan semakin diterima meluas khususnya dalam kalangan anak muda dan golongan intelektual.
Katanya, meskipun Pas suatu ketika dulu sering digambarkan hanya berada dalam ruang pengaruh pondok dan orang kampung, namun parti itu kini telah merentas sempadan pengaruh itu.
Malah, tambahnya, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Pas memenangi 43 kerusi Parlimen, sekali gus mempunyai jumlah kerusi terbesar di Dewan Rakyat.
Berbanding UMNO, ujarnya, parti itu meskipun pernah memiliki sebanyak 109 kerusi pada PRU 2004, namun semakin merosot sehinggalah hanya 26 kerusi pada PRU 2022.
“Trendnya jelas. UMNO berada di puncak pada PRU 2004 dan kemudian menurun secara berperingkat sehingga hanya 26 kerusi pada PRU15.
“Saya tidak berniat untuk bersikap kasar terhadap UMNO. Masih ramai akar umbi UMNO yang ikhlas dan berminat bersama Pas dalam perjuangan perpaduan ummah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Idris yang juga Pesuruhjaya Pas Perak mengulas kenyataan Preesiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang berharap Pas terbubar sendiri selepas UMNO meletakkan agama Islam di hadapan, melalui pindaan Perlembagaan parti pada 2019.
Sementara itu, Idris turut mempersoalkan kesediaan Ahmad Zahid mengundang Pas untuk bergabung dalam sebuah organisasi yang memfokuskan agenda Islam di luar politik, dan cadangan tersebut pula diluluskan dalam Kabinet.
“Sejak bila agenda politik kepartian perlu mendapat kelulusan Kabinet?
“Lebih menarik, UMNO yang mempunyai kekuatan keahlian sekitar 3.5 juta orang, kenapa agenda politiknya sebagai “abang long” perlu meminta izin Kabinet?
“Tambahan pula, Kabinet tersebut dianggotai menteri-menteri DAP. Ahli UMNO sendiri tentu faham bagaimana pandangan DAP terhadap UMNO dan agenda Islam. Tahu sama tahu lah,” katanya.
Tambahnya, Pas akan terus kekal dengan prinsip iaitu berjuang di pentas demokrasi dan bercakap soal Islam tanpa perlu kelulusan sesiapa, dan menyerahkan penilaian akhir kepada rakyat. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment