NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gelombang Perletakan Jawatan Goncang PN? Sanusi Tolak Pengerusi Cadang Ahmad Samsuri

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) kini berdepan fasa paling mencabar sejak penubuhannya apabila beberapa pimpinan utama di peringkat pusat dan negeri mengumumkan perletakan jawatan dalam tempoh singkat, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai hala tuju dan kepimpinan gabungan itu.

Gelombang ini bermula apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa serta-merta, susulan krisis politik di Perlis. Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyifatkan keputusan itu sebagai langkah strategik bagi memberi ruang penstrukturan semula kepimpinan PN.

Situasi itu disusuli beberapa perletakan jawatan penting di peringkat negeri dan pusat. Di Johor, ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor, sekali gus menambah tekanan dalaman terhadap gabungan berkenaan.

Di Selangor pula, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN serta Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor, langkah yang dilihat memberi kesan besar terhadap pengurusan dan koordinasi parti di peringkat pusat dan negeri strategik itu.

Perkembangan sama turut berlaku di beberapa negeri lain. ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan, manakala di Perak, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Perak, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Dalam perkembangan berkaitan, spekulasi mengenai pengganti Muhyiddin sebagai Pengerusi PN semakin hangat apabila nama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dicalonkan. Namun, Sanusi menegaskan beliau menolak jawatan tersebut dan sebaliknya mencadangkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon yang lebih sesuai untuk menerajui PN.

Menurut Sanusi, kelebihan Ahmad Samsuri dalam merangka strategi politik dan mengurus hala tuju gabungan menjadikannya tokoh paling layak pada ketika ini, selari dengan desakan beberapa pimpinan Pas yang mahu jawatan Pengerusi PN diterajui wakil parti itu.

Rentetan perletakan jawatan bertubi-tubi ini mencerminkan cabaran besar yang sedang dihadapi PN, sekali gus menuntut penyusunan semula kepimpinan secara menyeluruh bagi memulihkan keyakinan penyokong serta memastikan kestabilan gabungan menjelang cabaran politik akan datang.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo