Mereka ialah ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail; dan ADUN Chuping, Saad Seman, yang sebelum ini diberhentikan keahlian PAS pada 24 Disember lalu. Susulan itu, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan, mengumumkan ketiga-tiga kerusi terbabit dikosongkan sehari kemudian.
Dalam kenyataan bersama, ketiga-tiga ADUN berkenaan menegaskan bahawa tindakan Speaker mengisytiharkan kekosongan kerusi dibuat di luar bidang kuasa dan tidak selari dengan aturan undang-undang.
Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan Speaker itu sebagai terbatal, tidak sah dan defektif, selain menuntut relif lain yang difikirkan wajar. Menurut mereka, ketiadaan wakil rakyat hampir dua tahun sebelum pilihan raya negeri akan datang akan menjejaskan kebajikan dan kepentingan pengundi di kawasan terlibat.
Saman tersebut difailkan melalui peguam Mohd Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners, dengan Speaker sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua.
Sementara itu, Rus’sele ketika dihubungi menyatakan bahawa tindakan memfailkan saman adalah hak ADUN berkenaan, dan beliau sekadar melaksanakan tugas seperti yang diperuntukkan undang-undang.
Kemelut ini dilihat menjadi punca utama krisis kepimpinan Perikatan Nasional (PN), yang kemudiannya menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, sekali gus mencetuskan gelombang perletakan jawatan pimpinan PN di peringkat negeri dan pusat.

No comments
Post a Comment