PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju agar Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dibentang semula pada sidang Parlimen Jun depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Kabinet hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya yang juga Menteri Komunikasi, Jemaah Menteri berharap dan akan berusaha untuk memastikan semua Ahli Parlimen kerajaan memberi sokongan penuh dengan hadir dan mengundi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan yang penting itu.
“Jemaah Menteri juga telah diberi sedikit maklumat tentang salah faham yang mungkin berlaku dalam kalangan ahli-ahli Parlimen pembangkang, ada dalam kalangan mereka telah memberi maklum balas kepada salah seorang menteri bahawa mereka ingatkan yang mereka undi pada hari itu adalah untuk memberi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tempoh berkhidmat untuk 10 tahun.
“Jadi ini telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dan kami juga tidak tahu bagaimana pihak pembangkang boleh salah faham dalam isu tersebut.
“Walhal seharusnya semua Ahli Parlimen memahami bahawa usaha ini adalah untuk memastikan tidak lagi berlaku satu keadaan di mana Perdana Menteri berasa bahawa dia akan dan dia boleh melakukan apa sahaja kerana dia boleh berkuasa sehingga bila-bila,” katanya pada sidang media mingguan pasca-Kabinet di kementeriannya, di sini hari ini.
Kelmarin, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.
Ia selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen iaitu 148, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.
Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Lapan Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan tetapi tidak hadir dalam sesi itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Henry Sum Agong (Lawas); Riduan Rubin (Tenom); Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong); Datuk Suhaimi Nasir (Libaran); Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Larry Soon (Julau) dan Datuk Seri Dr Jeffrey@ Kitingan (Keningau).
Ditanya sama ada Kabinet akan mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir pada pengundian tempoh hari, Fahmi berkata, perkara itu telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, justeru terpulang kepada beliau untuk mengambil sebarang tindakan.
“Tapi waktu ini Ketua Whip Kerajaan, Datuk Seri Fadillah Yusof telah memaklumkan bahawa daripada lapan Ahli Parlimen itu, dua telah menulis secara rasmi untuk memberi penerangan dan penjelasan sebab tidak hadir kepada beliau.
“Jadi kita nantikan nama yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment