NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Enam tahun Darjah 1: Kesilapan dasar jejas masa depan



ALOR SETAR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan untuk memulakan persekolahan anak-anak seawal usia enam tahun ke darjah satu, bukan sekadar satu kenyataan dasar.

Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, sebaliknya pengumuman tersebut merupakan satu keputusan besar menyentuh asas pembentukan insan yang mengundang renungan mendalam seluruh rakyat.

Menurutnya, perubahan sebesar itu seolah-olah hadir tanpa dialog awam atau perbincangan menyeluruh, juga tanpa persediaan mental khususnya kepada ibu bapa, guru-guru serta masyarakat.

“Rakyat tertanya-tanya, sejak bila keputusan sepenting masa depan anak-anak dibuat tanpa pengetahuan dan keterlibatan mereka? Malah yang lebih mengejutkan cara diumumkan, tidak hanya kandungannya sahaja,” kata beliau pada kenyataannya, di sini.

Tegasnya, Kerajaan Persekutuan, terutama Perdana Menteri sendiri perlu bersikap jujur menjawab tanda tanya, mengapa rakyat tidak dilibatkan dalam kajian serta perbincangan awal sebelum ia menjadi keputusan.

“Siapakah sebenarnya yang dirujuk dalam membuat keputusan ini?
Adakah pandangan itu benar-benar mewakili keseluruhan pemegang taruh atau sekadar kelompok terpilih yang sehaluan dengan pembuat dasar?

“Mengapa ibu bapa, pendidik, pakar kanak-kanak dan masyarakat sivil tidak dijemput bersama memberi pandangan?” soal beliau yang juga merupakan bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

Justeru tidak hairanlah ujar Dr Haim, tindakan sedemikian menjadi
punca kegusaran rakyat kerana pendidikan tidak boleh ditadbir dengan pendekatan tertutup dan eksklusif.

Malah setiap keputusan pendidikan tegasnya, memberi kesan jangka panjang, bukan sahaja kepada prestasi akademik, tetapi kepada pembentukan emosi, nilai dan jati diri generasi masa depan.

“Dalam soal pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu kembali kepada asas yang paling penting iaitu pendidikan bukan milik kementerian, tetapi hak rakyat.

“Benar, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) memberikan kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk menetapkan dasar. Namun kuasa itu hadir bersama amanah.

“Amanah untuk mendengar, menilai dan memahami realiti sebenar kehidupan rakyat, bukan sekadar angka dan perbandingan antarabangsa,” ulas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu lagi.

Beliau turut menyuarakan kebimbangannya apabila kuasa sebesar itu dipusatkan kepada seorang menteri yang kurang pengalaman mendalam dalam ekosistem pendidikan.

Situasi sedemikian terutama dalam pendidikan ujarnya, satu kesilapan yang bukan hanya sekadar kesilapan dasar, sebaliknya kesilapan terhadap masa depan.

“Kesan buruknya tidak boleh diputar semula, dan generasi yang menjadi mangsa tidak mendapat peluang kedua,” luahnya lagi Pengerusi Jawatankuasa, Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah.

Walaupun katanya, akan ada pihak yang berhujah bahawa dan mendakwa Jawatankuasa Khas telah dibentuk, namun kewujudan jawatankuasa semata-mata bukan jaminan kebijaksanaan.

Tegasnya lagi, keberkesanannya tetap boleh dipersoalkan jika pendekatan akan digunakan bersifat selektif, selain menapis suara yang berbeza dan meminggirkan pihak tidak sealiran.

“Pendidikan tidak boleh dibina dalam ruang gema yang sempit.
Alasan bahawa lebih 143 negara telah melaksanakan kemasukan darjah satu pada usia enam tahun juga bukan hujah yang kukuh.

“Ia kedengaran mudah, tetapi hakikatnya lemah dan mengelirukan. Apakah negara ini dibina atas prinsip ikut orang? Orang buat, kita buat, tanpa mengambil kira konteks sosioekonomi, budaya, struktur keluarga dan realiti tempatan?” soalnya lagi.

Lebih merisaukan jelasnya, ialah berkenaan cadangan penggunaan ujian diagnostik khas untuk menyaring kanak-kanak berusia enam tahun, di mana langkah ini berpotensi membawa kesan psikologi yang besar.

Termasuk katanya tekanan, kebimbangan, rasa gagal dan hilang keyakinan diri, walhal pada usia muda anak-anak yang sepatutnya dipenuhi rasa ingin tahu, keriangan dan keselamatan emosi.

“Bagi anak-anak daripada keluarga M40 dan T20,  mungkin mereka lebih bersedia dari segi sokongan, pendedahan dan sumber. Namun realitinya sangat berbeza bagi anak-anak daripada keluarga B40. Ujian ini akan melebarkan jurang, bukan merapatkannya,” hujah beliau

Kesannya nanti katanya, anak-anak kecil akan dibayangi rasa takut untuk gagal kerana sejak usia enam tahun lagi mereka sudah diletakkan dalam kategori ‘berjaya’ atau ‘tidak berjaya’.

Tekanan itu ujar beliau, tidak terhenti pada anak-anak sahaja, malah terhadap para guru kerana terpaksa berhadapan pertambahan murid secara mendadak, selain keperluan pedagogi lebih kompleks, termasuk penilaian prestasi berdasarkan murid yang lebih muda.

Dalam masa yang sama katanya, ibu bapa pula berdepan dengan tekanan perbandingan sosial, khususnya apabila anak mereka tidak melepasi ujian diagnostik tersebut.

“Oleh itu hakikatnya, reformasi pendidikan yang diperlukan oleh negara bukan pada angka, tetapi pada keinsanan. Pendidikan seharusnya membangunkan insan secara seimbang.

“(Iaitu) antara akademik, jasmani, rohani, emosi, nilai, adab dan kemahiran hidup dan bukan sekadar mempercepatkan proses persekolahan,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu lagi.

KPM sepatutnya kata beliau, perlu memberi fokus kepada isu yang jauh lebih mendesak seperti memperbaiki prasarana sekolah, terutama di luar bandar kerana uzur; untuk membolehkan sesi sekolah pagi dan KAFA di sebelah petang dijalankan di sekolah sama.

Termasuk juga katanya, menangani trend guru bersara awal yang semakin membimbangkan dan menyelesaikan masalah guru mengajar di luar bidang kepakaran.

“Itulah realiti sebenar sekolah untuk anak-anak  hari ini. Masalahnya banyak, menuntut keberanian untuk membaiki, bukannya keghairahan mencipta legasi politik.

“Tetapi malangnya, apa yang lebih ditonjolkan hari ini ialah usaha meninggalkan nama dalam sejarah yang dibimbangkan, bukan legasi yang akan dikenang  tetapi tragedi yang akan diwariskan,” ujar beliau

Kerajaan tegasnya perlu sedar anak-anak masa kini adalah khalifah dalam pembikinan yang bukannya bahan eksperimen atau
tikus makmal.

“Oleh itu, marilah bersama-sama kita selamatkan pendidikan negara sebelum kita menyesal di kemudian hari,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 25/1/2026






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo