- Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar menekankan bahawa kejayaan sebenar projek ladang babi berpusat seperti di Bukit Tagar tidak akan diukur berdasarkan kecanggihan teknologi semata-mata, sebaliknya pada keberkesanan tadbir urus, pematuhan operasi sebenar di lapangan serta pemantauan dan pelaporan awam yang berterusan bagi membina kepercayaan komuniti dalam jangka panjang
- Beliau mengingatkan bahawa isu pencemaran alam sekitar kekal sebagai risiko utama sekiranya sisa buangan tidak diurus dengan baik, sama ada di ladang tradisional mahupun moden.
- “Kajian di Pulau Pinang mendapati majoriti ladang gagal mematuhi Standard B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Justeru, kawalan berkesan memerlukan penguatkuasaan berasaskan pematuhan iaitu mekanisme penggantungan atau pembatalan lesen operasi secara automatik sekiranya berlaku ketidakpatuhan berulang,” jelas beliau.
KUALA LUMPUR — Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar menegaskan bahawa penggunaan teknologi moden dalam penternakan babi berpusat bukanlah jaminan mutlak terhadap pencemaran alam sekitar atau risiko kesihatan awam, sebaliknya kejayaan projek seperti ladang babi berpusat di Bukit Tagar bergantung sepenuhnya kepada tadbir urus, penguatkuasaan dan pemantauan yang berkesan dalam jangka panjang.
Menurut beliau, model ladang babi moden dan berpusat sememangnya direka untuk mengurangkan risiko penularan penyakit berbahaya seperti Demam Babi Afrika (ASF) dan virus Nipah berbanding sistem tradisional yang kecil, berselerak dan sering terletak berhampiran kampung atau kawasan hutan.
Katanya, ladang tradisional lazimnya mempunyai kawalan biokeselamatan yang terhad, meningkatkan risiko sentuhan dengan hidupan liar seperti kelawar dan rodensia, selain menyukarkan pengawasan penyakit serta tindak balas pantas sekiranya berlaku wabak, sekali gus memudahkan penularan merentas daerah dan negeri.
Sebaliknya, ladang moden dan berpusat seperti di Bukit Tagar dilengkapi kawalan biokeselamatan yang lebih ketat termasuk pagar perimeter, zon pembasmian kuman, kawalan titik masuk tunggal, reka bentuk tertutup dan kalis kelawar, selain pemantauan veterinar berjadual serta sistem data berpusat bagi mengesan wabak pada peringkat awal.
Dr Zainal menjelaskan, keupayaan tindak balas pantas juga menjadi kelebihan utama model berpusat, termasuk pengasingan segera haiwan sakit, pelaksanaan protokol “kesan satu, musnah semua”, serta pengurusan pergerakan ternakan melalui sistem “semua masuk, semua keluar” bagi memutuskan rantaian jangkitan antara kumpulan umur berbeza.
Namun, beliau mengingatkan bahawa isu pencemaran alam sekitar kekal sebagai risiko utama sekiranya sisa buangan tidak diurus dengan baik, sama ada di ladang tradisional mahupun moden.
“Kajian di Pulau Pinang sebelum ini mendapati majoriti ladang gagal mematuhi Standard B di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, sekali gus menunjukkan kelemahan penguatkuasaan sebagai punca utama masalah,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan sistem rawatan sisa berjurutera dan berpusat berkonsepkan sifar pelepasan, audit alam sekitar bebas dan berkala yang telus kepada umum, serta mekanisme penguatkuasaan tegas termasuk penggantungan atau pembatalan lesen secara automatik sekiranya berlaku ketidakpatuhan berulang.
Mengulas pandangan pakar virologi terkemuka, Prof Dr Lam Sai Kit, Dr Zainal berkata sokongan terhadap model ladang berpusat perlu disertai dengan perancangan zon yang jelas, sokongan kewangan dan teknikal berperingkat khususnya kepada penternak kecil, serta libat urus menyeluruh bersama komuniti setempat kerana ribuan mata pencarian bergantung kepada industri tersebut.
Beliau menegaskan bahawa pengalaman wabak Nipah 1999 dan penularan ASF kebelakangan ini membuktikan sistem penternakan berselerak dan tidak terkawal merupakan liabiliti besar kepada kesihatan awam, justeru peralihan kepada model moden dan berpusat adalah langkah yang wajar dan perlu dari sudut pengurusan risiko zoonotik.
Namun demikian, Dr Zainal menekankan bahawa kejayaan sebenar projek ladang babi berpusat seperti di Bukit Tagar tidak akan diukur berdasarkan kecanggihan teknologi semata-mata, sebaliknya pada keberkesanan tadbir urus, pematuhan operasi sebenar di lapangan serta pemantauan dan pelaporan awam yang berterusan bagi membina kepercayaan komuniti dalam jangka panjang.-The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment