NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tempoh 6 bulan kepada PM: Reformasi tidak boleh dilaksana serentak - Mahfuz



PENDANG - Agenda reformasi kerajaan tidak boleh dilaksanakan secara serentak kerana setiap perubahan memerlukan masa, penelitian serta pelaksanaan berperingkat, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, kerajaan sebenarnya sedang menjalankan pelbagai inisiatif pembaharuan, namun masyarakat perlu memahami bahawa tidak semua reformasi boleh dibuat serta-merta.

“Reformasi sedang berjalan. Kita tidak boleh buat semua sekali gus. Mana ada, orang ada rumah lima bilik boleh tidur serentak di semua bilik.

"Begitu juga dengan reformasi. Ada yang disusun untuk tahun ini, ada yang akan digerakkan tahun depan,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa parti itu akan menilai semula peranannya dalam kerajaan jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal melaksanakan reformasi bermakna dalam tempoh enam bulan akan datang.

Mahfuz yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebelum itu ditemui pada sidang media selepas Pelancaran Sulung Benih Padi Sah MR297 dan MR315 di sini.

Jelas beliau, reformasi bukan hanya melibatkan struktur politik atau institusi, sebaliknya turut menyentuh sektor perkhidmatan awam yang kini sedang mengalami penambahbaikan khususnya berkaitan birokrasi.

Beliau memberikan contoh reformasi birokrasi dalam urusan bantuan bencana telah pun berjaya dilaksanakan oleh kerajaan.

"Kalau dahulu bantuan bencana mengambil masa sehingga empat bulan melalui lima lapisan proses, kini hanya dua bulan dengan tiga lapisan sahaja. Itu pun sudah reformasi,” katanya.

Mengulas kenyataan DAP itu lagi, beliau melihat ia bukan satu ugutan tapi kejutan selepas mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Sementara itu, Mahfuz berkata, pelancaran benih padi sah akan membantu meningkatkan kualiti hasil pesawah melalui penggunaan benih berdaftar serta pengukuhan ekosistem pengeluaran padi.

Menurutnya, benih yang dihasilkan oleh ladang benih sah kini boleh dipasarkan terus kepada pesawah selepas melalui proses pengesahan oleh kementerian, memudahkan petani mendapatkan bekalan berkualiti.

“Benih yang baik penting, tapi penjagaan juga perlu rapi," katanya.


Sumber | Sinar Harian










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo