SHAH ALAM - Pemuda Pas mendesak kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertegas dan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Timbalan Ketuanya, Mohd Hafez Sabri berkata, ia memandangkan negara telah lama mengamalkan satu sistem pendidikan kebangsaan yang menjadi asas kepada perpaduan dan pembangunan negara.
"Pemuda Pas membantah desakan berterusan oleh DAP untuk mengiktiraf UEC sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.
"Tuntutan tersebut jelas bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming pada Selasa dilapor berkata, partinya akan berjumpa dengan Anwar untuk meminta UEC diiktiraf.
Kor Ming juga mengulang pendirian DAP dalam usaha tersebut dan meminta masyarakat Cina supaya bersabar dan tidak khuatir.
Mohd Hafez yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi menegaskan, sejarah menunjukkan bahawa sejak tahun 1975, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjawat jawatan Menteri Pelajaran, kerajaan telah memberi ruang kepada UEC untuk beroperasi melalui sekolah swasta di Malaysia.
Kata beliau, seterusnya pada tahun 2012, di bawah Kementerian Pendidikan yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, UEC diberikan pengiktirafan bersyarat bagi tujuan pengambilan guru pelatih ke Institut Pendidikan Guru (IPG) dan itupun terhad kepada bidang Pendidikan Bahasa Cina sahaja.
"Bagaimanapun, selepas UEC dibenarkan beroperasi sejak 1975 dan diberikan pengiktirafan bersyarat pada tahun 2012, kini timbul pula tuntutan agar kerajaan mengiktiraf UEC sepenuhnya setaraf dengan persijilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
"Tambahan pula, tiada keperluan bagi kerajaan untuk mengiktiraf UEC kerana selain bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, ia juga menimbulkan ketidakadilan kepada murid-murid Cina yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK)," jelasnya.
Malahan, jelasnya, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) telah diiktiraf sepenuhnya oleh Perlembagaan Persekutuan.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment