NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP perlu jawab mengapa tunggu enam bulan – Rajasekaran



KUALA LUMPUR – Ahli Kerja Pusat MIC, Datuk RT Rajasekaran mempersoalkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang memberi tempoh enam bulan untuk menilai hala tuju reformasi kerajaan baru-baru ini. 

Katanya, kenyataan tersebut menimbulkan persoalan besar kerana DAP merupakan parti terbesar dalam kerajaan dan sudah berada dalam pentadbiran hampir tiga tahun.

“Mengapa perlu menunggu enam bulan untuk menilai sama ada reformasi kerajaan akan berjaya atau tidak? Banyak janji dalam manifesto kekal sekadar impian tanpa pelaksanaan yang jelas,” katanya dalam kenyataan. 

Tambah beliau lagi, mengapa beberapa isu hanya dibangkitkan selepas kerajaan mengalami kekalahan besar dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) baru-baru ini.

“Mengapa sekarang baru YB Bagan bersuara mengenai isu e-invoicing? Mengapa baru kini Timbalan Menteri Undang-undang turun ke perhimpunanIndira Gandhi, sedangkan pertemuan dengan Ketua Polis sudah pun diatur?,” soalnya lagi. 

Rajasekaran berkata, kegagalan dasar dan pentadbiran dalam beberapa kementerian yang dipimpin pemimpin DAP turut memberi kesan terhadap persepsi rakyat.

“Daripada semua kementerian dalam Kerajaan Madani, kementerian Anthony Loke paling aktif mendampingi rakyat. Namun timbul isu peraturan baharu pemandu lori, kesan sekatan lesen, isu ‘Jewel Waterfall’, dan kerosakan berulang Aerotrain di KLIA. MAHB tetap di bawah tanggungjawab beliau sebagai menteri,” katanya.

Rajasekaran turut menegur pembentangan Rang Undang-Undang URA 2025 oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang akhirnya ditarik balik, serta kenyataan beberapa pemimpin DAP mengenai SOSMA.

“Mengapa semua ini tidak dibincangkan secara langsung dengan perdana menteri? Mengapa perlu diumumkan melalui media, bukannya diselesaikan dalam mesyuarat Kabinet?” Ujarnya. 

Beliau menambah, desakan terhadap reformasi yang tiba-tiba memuncak selepas kekalahan lapan kerusi di Sabah menimbulkan tanda tanya mengenai keikhlasan politik DAP.

Katanya, sehingga kini tiada pendirian jelas DAP berkaitan pengiktirafan UEC, dan tiada tindakan konkrit mendesak kerajaan menyelesaikan perkara tersebut.

“Masyarakat sudah celik dengan permainan DAP yang berterusan menggunakan sentimen seumpama ini kononnya pejuang rakyat dan sebaliknya yang berlaku. Jangan cuba perbodohkan mereka. Mereka nampak ini hanya sandiwara politik untuk meraih sokongan semula menjelang PRU-16,” tegasnya. 

Menurutnya lagi, suara lantang DAP tentang reformasi hanya muncul setelah parti itu tewas besar di Sabah, meskipun mereka sudah berada dalam kelompok kepimpinan tertinggi negara hampir tiga tahun.

“Ini bukan perjuangan demi kebenaran atau meningkatkan taraf hidup rakyat. Ini hanyalah cubaan menutup kegagalan politik sendiri. DAP perlu nilai kegagalan dalaman ini dan bukannya menuding jari kepimpinan utama,” ujarnya. -MalaysiaGazette 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo