NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tok Mat luah kecewa, tegur PH Negeri Sembilan



SEREMBAN – Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan meluahkan rasa kecewa terhadap pembahagian jawatan politik di Negeri Sembilan yang didakwa tidak selaras dengan semangat kerjasama seperti diamalkan di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, pembahagian jawatan sepatutnya dilakukan secara adil dan seimbang, sebagaimana yang dipraktikkan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

“Saya ingin menegur sedikit, sebagai wakil daripada rakan yang menubuhkan kerajaan Negeri Sembilan ini, saya merasa kecewa kerana kita berjanji di peringkat Persekutuan untuk mengurus negara bersama-sama.

“Negeri Sembilan pun begitu, kita bersama untuk urus negeri dan kita mesti beri sama-sama. Itu sebabnya di peringkat Kabinet, jika KPT dipegang PH, Luar Bandar pula dipegang BN.

“Tetapi di Negeri Sembilan, keputusan yang dibuat baru-baru ini tidak begitu. Sepatutnya satu untuk kamu, satu untuk saya; satu untuk saya, satu untuk kamu. Ini dua untuk saya, kosong untuk kamu. Tak mahulah begitu,” katanya semasa Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Ke-15 di sini pada Selasa.

Mohamad yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan berharap perkara sedemikian tidak berulang pada masa akan datang kerana boleh menimbulkan persoalan, terutamanya di peringkat akar umbi.

Tegas beliau, setiap parti komponen dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan perlu saling menghormati antara satu sama lain.

“Di luar sana, ada tahap kita boleh mengekang perasaan. Kami seboleh mungkin ingin bersama-sama mengurus negeri dan negara.

“Tetapi kita juga berdepan isu yang kadangkala sukar dijawab apabila ditanya oleh orang ramai,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu pembahagian jawatan senator baru-baru ini yang kedua-duanya diberikan kepada wakil daripada Pakatan Harapan (PH).

“Bukankah lebih baik jika pembahagian jawatan senator itu satu untuk PH dan satu untuk BN?

“Keputusan seperti ini tidak wajar. Saya tidak mahu perkara ini berlaku lagi. Hormatilah rakan kerjasama kita,” tegasnya.

Mohamad juga berharap setiap perkara yang dipersetujui dalam perbincangan bersama antara kerajaan PH dan BN dapat ditepati.

“Seperti ucapan Yang Amat Berhormat Sikamat (Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun – PH), labur sama dapat, cicir sama rugi.

“Tapi ini, labur tak sama dapat. Yang labur seorang saja dapat, yang cicirnya kami,” katanya.


Sumber | Sinar Harian











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo