Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, berkata konvensyen berkenaan akan berlangsung pada 3 Januari 2026 di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Menurut beliau, konvensyen itu bertujuan membuka ruang kepada ahli Pemuda UMNO untuk menyuarakan pandangan secara terbuka dan berprinsip mengenai masa depan parti dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sudah tiba masanya kita yang sayangkan UMNO ini keluar dan menyuarakan isi hati kita tentang hala tuju UMNO dalam kerajaan ini.
Parti ini milik kita semua. Kita bukan sekadar bercakap, tetapi kita melaksanakan apa yang kita katakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dr Akmal menegaskan, keputusan sama ada UMNO perlu kekal atau menarik diri daripada Kerajaan MADANI harus ditentukan oleh suara ahli dan bukan ditetapkan secara sepihak.
“Sama ada kekal atau keluar, kita yang menentukannya,” katanya.
Ketegangan Politik Meningkat
Konvensyen itu diadakan ketika wujudnya ketegangan dalam kalangan ahli UMNO, khususnya selepas Mahkamah Tinggi menolak semakan kehakiman berhubung Titah Adendum tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dr Akmal sebelum ini antara pimpinan Pemuda UMNO yang lantang menggesa parti itu keluar daripada Kerajaan MADANI, dengan alasan kerjasama tersebut didakwa semakin menjejaskan maruah dan kepercayaan penyokong tradisi UMNO.
Situasi itu turut diburukkan dengan kenyataan beberapa Ahli Parlimen DAP yang disifatkan biadab oleh pemimpin UMNO kerana dilihat meraikan keputusan mahkamah terhadap Najib, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan ahli parti tersebut.
Isyarat Tekanan Akar Umbi
Penganalisis politik berpandangan, konvensyen khas Pemuda UMNO ini menjadi isyarat jelas tekanan akar umbi yang semakin kuat terhadap kepimpinan tertinggi parti agar menilai semula kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan.
Keputusan dan resolusi yang bakal dibawa hasil konvensyen itu dijangka memberi implikasi besar terhadap landskap politik negara, khususnya kestabilan Kerajaan MADANI menjelang tahun 2026.

No comments
Post a Comment