NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Flash Express Umum Tamat Operasi di Malaysia Mulai Januari 2026

KUALA LUMPUR — Syarikat perkhidmatan penghantaran dan logistik, Flash Express, disahkan akan menamatkan operasinya di Malaysia, sekali gus menambah senarai pemain industri kurier yang bergelut dalam pasaran logistik tempatan yang semakin kompetitif.

Flash Ekspress memulakan operasi pada 25 Oktober 2021, dengan hab tunggal di Klang, Selangor, dan pada ketika itu mempunyai kira-kira 4,000 tenaga kerja.

Menurut makluman yang dikeluarkan, 15 Januari 2026 ditetapkan sebagai tarikh terakhir penghantaran menggunakan perkhidmatan Flash Express. Selepas tarikh tersebut, syarikat itu tidak lagi menerima atau memproses sebarang tempahan baharu.

Bagaimanapun, Flash Express memaklumkan bahawa semua tempahan yang dibuat sebelum atau pada 15 Januari 2026 akan diteruskan dan dihantar seperti biasa mengikut komitmen sedia ada.

Setakat ini, tiada penjelasan rasmi diberikan oleh pihak Flash Express berhubung faktor sebenar yang mendorong kepada keputusan menghentikan operasi di Malaysia, sama ada melibatkan isu kewangan, strategi perniagaan atau tekanan persaingan pasaran.

Persaingan Sengit Industri Kurier

Penamatan operasi Flash Express berlaku dalam suasana industri penghantaran negara yang berdepan persaingan sengit, khususnya dengan kehadiran pemain dominan seperti J&T Express, SPX Express dan Pos Laju, selain peningkatan kos operasi serta perubahan corak e-dagang pasca pandemik.

Beberapa penyedia perkhidmatan yang sebelum ini menguruskan penghantaran melalui Flash Express turut dilaporkan telah menyediakan alternatif kepada pelanggan bagi memastikan kelangsungan urusan logistik tanpa gangguan.

Langkah tersebut dilihat penting bagi peniaga dalam talian dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan kurier untuk kelangsungan perniagaan harian mereka.

Isyarat Cabaran Pasaran Logistik

Pemerhati industri berpandangan, penarikan keluar Flash Express dari pasaran Malaysia memberi isyarat jelas bahawa skala operasi besar semata-mata tidak menjamin kelangsungan, sekiranya margin keuntungan semakin terhimpit dan persaingan harga menjadi terlalu agresif.

Perkembangan ini juga dijangka membuka ruang kepada pemain sedia ada untuk mengukuhkan pegangan pasaran, namun pada masa sama meningkatkan keperluan inovasi, kecekapan operasi serta kawalan kos dalam industri logistik tempatan.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo