GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pelaksanaan Program Pembentukan Karakter dalam Kurikulum Persekolahan 2027 bukan dibuat secara tergesa-gesa, tetapi merupakan kesinambungan usaha berterusan bagi memperkukuh nilai, adab dan akhlak murid.
Menterinya, Fadhlina Sidek turut menegaskan Program Pembentukan Karakter bukan subjek baharu, sebaliknya pendekatan merentas semua disiplin dan bidang pembelajaran yang menjadi tunjang utama dalam kurikulum baharu itu.
“Saya tidak fikir ia dilakukan secara tergesa-gesa kerana soal Pembentukan Karakter ini adalah komitmen KPM sepanjang tahun dan sepanjang kementerian ini wujud.
“Malah ia juga bukan subjek baru, ia adalah sebahagian besar daripada yang kita sebut sebagai merentas semua disiplin ataupun subjek.
“Jadi, Program Pembentukan Karakter ini adalah pendekatan kita untuk meneguhkan kembali soal nilai, karakter, adab dan akhlak anak-anak yang kini menjadi tumpuan semua pihak,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Fadhlina merasmikan Wacana Fikrah Siddiq Fadzil bersempena Muktamar Wadah negeri Pulau Pinang di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang di sini.
Tambah Fadhlina, Program Pembentukan Karakterakan diterapkan dalam semua subjek, dengan guru memainkan peranan masing-masing bagi memastikan nilai dan akhlak diterapkan secara menyeluruh dalam pembelajaran.
“Kalau cikgu Sains akan bercakap tentang pembentukan karakter dalam bidang Sains, cikgu Bahasa Inggeris boleh melakukan pembentukan karakter dalam kelas Bahasa Inggeris dan begitu juga dengan guru-guru yang lain.
“Program Pembentukan Karakter juga merupakan salah satu tumpuan utama dalam kurikulum baharu selain Kurikulum Sepadu yang memperkukuh peranan komuniti dalam membentuk sahsiah murid.
“Selain itu, Program Pembentukan Karakter ini boleh dilibatkan oleh komuniti, kementerian dan siapa sahaja yang melihat bahawa soal pembentukan karakter ini adalah soal teras dan sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak,” katanya.
Fadhlina turut meminta semua pihak memberi ruang kepada guru dan murid untuk menyesuaikan diri dengan pelaksanaan kurikulum baharu itu yang akan bermula tahun hadapan.
“Bagi ruang untuk perjalanan kurikulum baru. Kitaran baru ini kita akan mula lebih awal iaitu tahun 2026 dengan anak-anak prasekolah yang akan memulakannya dan kemudiannya diperluaskan ke sekolah rendah serta menegah pada 2027,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan KPM memperuntukkan masa khusus selama 60 minit seminggu bagi pelaksanaan Program Pembentukan Karakter di sekolah rendah dan menengah di dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Menurut KPM, program itu akan disediakan dalam jadual waktu persekolahan untuk membolehkan aktiviti pembentukan karakter dilaksanakan secara terancang dan berfokus. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment