KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dinilai sesuai dan layak untuk dibawa semula ke dalam Kabinet bagi melonjak imej UMNO supaya mampu memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Pemerhati politik, Shahbudin Husin berkata, hasrat memenangi lebih banyak kerusi itu selaras dengan keinginan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri yang mahu menjadikan UMNO kembali dominan dalam persada politik negara selepas PRU-16.
Bagaimanapun, tambahnya, bagi memastikan keinginan menjadikan UMNO kembali dominan itu benar-benar menjadi kenyataan, membawa masuk hanya Khairy seorang dilihat tidak memadai.
Sebaliknya, ujar beliau, UMNO perlu membawa masuk semula semua pemimpinnya yang dipecat dan digantung keahlian pasca PRU-15, kecuali yang telah memilih untuk berhijrah menyertai parti lain.
Jelasnya, mendahului senarai itu tentunya bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan serta beberapa bekas Ketua UMNO Bahagian lain daripada beberapa negeri.
“Semua mereka harus diterima semula ke dalam UMNO sebagai isyarat inklusifnya Ahmad Zahid menerajui parti itu menuju matlamat kembali dominan yang dicita-citakan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Tambah Shahbudin, sekiranya Khairy yang dipecat boleh diberikan isyarat langsung supaya mengisi semula borang keahlian UMNO, tiada sebab Hishammuddin dan pemimpun lain yang digantung tidak boleh diberikan isyarat sama supaya segera mengemukakan rayuan.
Katanya, meskipun Hishammuddin pernah bertegas enggan membuat sebarang rayuan, namun sekiranya ada isyarat yang jelas daripada mulut Ahmad Zahid sendiri, ia pasti menjadi lebih mudah.
“Lagi pula, Hishammuddin pernah bergandingan dengan Ahmad Zahid pada awal 1990-an dulu ketika menerajui Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,” katanya.
Apa yang jelas, tambah beliau, imej UMNO di mata rakyat akan menjadi lebih baik jika Ahmad Zahid dapat berlapang dada menerima kembali semua mereka yang dibuang sebelum ini, tanpa seorang pun dibiarkan tertinggal `di tepi jalan’.
“Terlanjur nak bawa Khairy masuk semula ke dalam UMNO, lebih elok dan manis jika dibawa semua sekali, lagi pun kedudukan Ahmad Zahid menerajui parti sudah terlalu kukuh untuk digugat oleh sesiapa pada ketika ini,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan sah telah menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti itu di hadapan Ahmad Zahid pada pertemuan di majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman baru-baru ini.
Memetik sumber, laporan akhbar menyebut, dalam pertemuan tidak rasmi itu, Khairy sendiri telah menyatakan hasrat kepada Ahmad Zahid untuk membincangkan kaedah untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.
Malah, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dikatakan dijangka menyertai semula UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung hujung bulan depan.
Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 ekoran kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti sepanjang kempen PRU-15 yang menyaksikan beliau tewas ketika diletakkan bertanding merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment