NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pecat kakitangan bank sunting gambar Anwar dengan notis 24 jam amat keras, zalim – Haim Hilman



KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Dr. Haim Hilman Abdullah menyifatkan tindakan memberhentikan kakitangan bank, Siti Nurziswanis Mohd Zain dengan notis 24 jam sebagai amat keras dan zalim.

Malah, bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu turut mempersoalkan sama ada sifat belas dan kasih serta kemaafan telah hilang susulan tindakan tersebut.

Ujarnya, beliau tidak bermaksud mempertahankan tindakan Siti Nurziswanis itu yang turut disifatkan amat tidak wajar.

Namun, tambahnya, tindakan terlalu mengagungkan pemimpin dan pada masa sama terlalu keras kepada rakyat biasa perlu direnung sedalam-dalamnya.

“Kalau kita semak, banyak sahaja hinaan, cacian, makian yang silih berganti di antara pihak-pihak yang berbalah.

“Pemimpin kedua-dua belah pihak sering menjadi sasaran.

“Itulah suasana politik negara kita hari ini. Bukan sahaja politik, dalam kehidupan biasa hampir sama apabila ada perbalahan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Siti Nurziswanis ditamatkan perkhidmatannya berkuat kuasa kelmarin susulan tindakannya memuat naik gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disunting.

Terdahulu, media sosial menggunakan akaun Siti Nurziswanis Mohd Zain menjadi tular selepas memuat naik gambar Anwar yang disunting berpakaian bendera Israel dan memakai pottu berunsur keagamaan Hindu.

Bagaimanapun, susulan penularan tersebut, Siti Nurziswanis dilaporkan membuat permohonan maaf secara terbuka di akaun Facebook miliknya.

Sementara itu, Haim Hilman berkata, beliau menyedari setiap insititusi mempunyai code of conduct yang mengawasi perlakuan warga kerja khususnya ketika waktu kerja mahupun di luar waktu kerja yang bersesuaian dengan keperluan serta kepentingan institusi berkenaan.

Katanya, dalam kes itu, hukuman tetap perlu dikenakan, namun hukuman sekeras memecat walaupun selepas kakitangan berkenaan memohon maaf secara terbuka, menyesali perbuatannya dan menurunkan posting tersebut amat mendukacitakan.

Ujar beliau, pemimpin besar negara yang terguris hati dengan perbuatan Siti  Nurziswanis tersebut pastinya boleh membiarkan hukuman itu kekal atau memilih untuk memaafkan dan membantu mendapatkan kembali jawatannya.

“Jika boleh saya nasihatkan, maafkanlah Siti dan hargailah permohonan maafnya.

“Jangan biarkan orang disekelilingmu membuat keputusan sekeras itu bagi pihakmu atas alasan mahu menjaga nama baikmu.

“Ingatlah yang kita hanya manusia biasa yang tidak akan lepas dari berbuat kesilapan. Hari ini hari dia, mungkin esok hari kita.

“Untuk itu, harapan saya sekali lagi agar maafkanlah Siti.

“Dia hanya seorang rakyat kecil dan kerdil. Berjuang untuk meneruskan kehidupannya dan keluarganya,” katanya. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo