Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS Selangor, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata perjanjian itu memberi laluan kepada syarikat Amerika untuk bekerjasama dalam sektor REE Malaysia dan melarang sebarang sekatan eksport bahan kritikal ke AS.
“Apakah jaminan kerajaan Malaysia bahawa REE yang dieksport tidak akan digunakan dalam pembuatan sistem radar, sonar, peluru berpandu, jet pejuang dan kapal perang yang akhirnya digunakan Israel untuk menyerang rakyat Palestin di Gaza?” katanya.
Beliau berkata, kebimbangan itu berasas kerana Amerika Syarikat merupakan pembekal utama senjata kepada rejim Zionis Israel, merangkumi sekitar 66% daripada jumlah keseluruhan import senjata negara tersebut.
“Adakah Malaysia kini berisiko menjadi pembekal bahan mentah kepada senjata yang menumpahkan darah umat Islam?” soal beliau lagi.
PAS Selangor turut mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi penjelasan jelas mengenai dua perkara utama — mekanisme kawalan penggunaan REE selepas dieksport, serta jaminan bahawa bahan mentah tersebut tidak digunakan dalam sebarang sistem senjata terhadap umat Islam.
Kenyataan itu turut menyifatkan isu REE bukan sekadar soal ekonomi, tetapi menyentuh soal kedaulatan, prinsip dan maruah negara Islam.
“Kerajaan Madani perlu sedar bahawa Malaysia tidak boleh menjadi penyumbang secara tidak langsung kepada penindasan rakyat Palestin,” tegasnya.
PAS Selangor turut menggesa agar kerajaan mengadakan sesi khas Parlimen bagi membahaskan Perjanjian Perdagangan Malaysia–AS (ART 2025), supaya wakil rakyat dapat meneliti implikasi sebenar terhadap kepentingan nasional dan dasar luar negara.
“Kami menuntut jaminan bahawa sumber REE Malaysia tidak akan dimanfaatkan untuk sebarang aktiviti yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan pendirian Malaysia terhadap Palestin,” katanya.
- 1Media.my

No comments
Post a Comment