PONTIAN – Kementerian Kerja Raya (KKR) menyokong tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu wajar diteruskan kerana lebih muatan bukan sahaja mempercepatkan kerosakan jalan, malah turut menjadi punca kepada beberapa kemalangan maut sebelum ini.
“Saya mengakui bahawa lebih muatan memang antara punca utama jalan rosak. Ia juga membahayakan nyawa pengguna lain kerana kenderaan berat sukar dikawal apabila melebihi had muatan,” katanya selepas Festival Budaya Bugis di Tampok Darat, Benut pada Sabtu.
Menurut Ahli Parlimen Pontian itu lagi, isu lebih muatan telah lama berada dalam perhatian KKR kerana ia memberi kesan besar kepada struktur jalan dan keselamatan pengguna.
Beliau menjelaskan, kementerian memperuntukkan kira-kira RM2.5 bilion setahun untuk penyelenggaraan jalan, sedangkan keperluan sebenar mencecah RM4 bilion, menjadikan setiap kerosakan akibat lebih muatan satu beban tambahan kepada kerajaan.
“Duit penyelenggaraan memang tidak pernah cukup. Namun apabila jalan cepat rosak akibat lebih muatan, kos pembaikan pun meningkat" ujarnya.
Beliau turut menegaskan, tiga faktor utama yang menyebabkan jalan rosak ialah cuaca, usia jalan yang lama dan aktiviti lebih muatan.
Tambah beliau, isu lebih muatan bukan perkara kecil kerana ia telah menyumbang kepada beberapa kejadian kemalangan maut termasuk melibatkan anggota keselamatan sebelum ini.
Pada Jumaat, media melaporkan punca utama nahas yang meragut sembilan nyawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak Mei lalu adalah disebabkan lori 'tipper' yang membawa batu kerikil melebihi 70 peratus atau 40,960kg daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan.
Dapatan itu diperoleh hasil Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berhubung insiden berkenaan yang membabitkan lori muatan batu kerikil dan lori FRU di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Dalam pada itu, Ahmad menyarankan agar JPJ meneruskan libat urus dengan pihak industri bagi mencari pendekatan terbaik agar penguatkuasaan tidak menjejaskan operasi logistik negara.
Pada 14 Oktober lalu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran di seluruh negara bagi mengekang kesalahan membawa lebih muatan melibatkan kenderaan perdagangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, operasi yang dinamakan 'Perang Lebih Muatan Kenderaan Perdagangan' itu dilaksanakan serta-merta hingga 31 Disember depan.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment