NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hak wartawan tanya soalan untuk dapatkan penjelasan - Majlis Media Malaysia



SHAH ALAM – Majlis Media Malaysia (MMM) mengalu-alukan penegasan semula kerajaan mengenai hak wartawan untuk bertanya soalan berkaitan tanpa rasa takut atau ancaman.

MMM dalam satu kenyataan berkata, sudah menjadi tugas wartawan untuk bertanya soalan dan mendapatkan penjelasan mengenai dasar, program serta tindakan kerajaan.

Menurut kenyataan itu, ia juga merupakan amalan kewartawanan yang baik untuk mengesahkan fakta dan menjelaskan sesuatu perkara sebelum diterbitkan.

“Kami menghargai kenyataan yang dibuat oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, susulan perbincangan Jemaah Menteri mengenai kejadian tersebut.

“Beliau menegaskan kepentingan melindungi hak dan tanggungjawab wartawan untuk menyoal menteri serta pegawai kerajaan mengenai isu berkepentingan awam, iaitu satu prinsip asas kepada ketelusan dan akauntabiliti.

“Bagaimanapun, jika ada wartawan bertindak secara tidak wajar semasa menjalankan tugas, tindakan yang sewajarnya akan diambil dengan membangkitkan isu tersebut kepada penerbit. Jika tidak dapat diselesaikan, mereka boleh mengemukakan aduan rasmi kepada majlis,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menerima kritikan meluas daripada masyarakat dan persatuan media susulan kenyataannya yang dilihat sebagai cubaan mengugut seorang wartawan ketika sesi prapelancaran projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Nga dilaporkan berkata: “Saya akan ingat, dan saya akan hubungi ketua editor anda. Saya tidak mahu anda datang ke sini dan merosakkan majlis dengan soalan seperti itu,” yang memberi gambaran beliau akan menghubungi pengarang Utusan Malaysia untuk membuat aduan.

Menurut MMM, kenyataan sebegini boleh dianggap sebagai satu bentuk intimidasi terhadap media.

Jelasnya, walaupun wakil kerajaan berhak menyuarakan pandangan mereka, namun adalah tidak wajar bagi pegawai awam mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap sebagai ugutan atau usaha menyekat kebebasan media.

“Kami turut mengambil maklum secara positif bahawa Nga Kor Ming telah mengakui kenyataannya yang tidak wajar dan telah memohon maaf.

“Beliau juga bersedia untuk bertemu dengan pihak berkaitan bagi menjernihkan keadaan.

“Majlis melihat pendekatan sebegini sebagai konstruktif dan menggalakkan dialog terbuka untuk menyelesaikan isu tersebut,” ujarnya.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo