NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenyataan AGC buka semula luka lama Sabah, Ewon kata keputusan letak jawatan terbukti tepat

KOTA KINABALU, 12 Nov — Datuk Ewon Benedick berkata kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu 40% hasil Sabah hanya mengesahkan sebab utama beliau meninggalkan Kabinet — prinsip yang, katanya, semakin kabur dalam pentadbiran pusat.

Presiden UPKO itu berkata, walaupun AGC menegaskan kerajaan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, kenyataan susulan yang menyebut “akan merayu kecacatan dalam alasan penghakiman” mendedahkan sikap bertentangan kerajaan sendiri.

“Rayuan tetap rayuan. Tidak kira apa nama yang diberi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang sebelum ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, langkah yang jarang diambil oleh menteri dalam kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi beliau, isu 40% hasil bukan sekadar soal kewangan, tetapi soal maruah negeri di bawah bayu.

“Senarai Persekutuan itu soal pentadbiran, tapi hak 40% ini adalah hak undang-undang yang tidak boleh disamakan. Ia termaktub dalam Perlembagaan, bukan ihsan,” katanya.

Ewon turut mendedahkan, sepanjang tiga tahun dalam Kabinet, beliau sudah berkali-kali menyuarakan pendirian sama — namun respons yang diterima “tidak berubah”.

Kenyataan AGC itu turut menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati politik Sabah, yang melihatnya sebagai petanda bahawa isu hak negeri itu masih belum benar-benar difahami oleh Putrajaya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin turut menegaskan hanya parti tempatan Sabah mampu membawa agenda sebenar rakyat negeri itu, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sudah tiba masanya Sabah dipimpin oleh parti yang berprinsip dan berpaksikan rakyat sendiri, bukan hanya jadi cawangan kepada parti di Semenanjung,” kata Ewon lagi.

Langkah Ewon itu menambah tekanan terhadap kerajaan pusat yang kini berdepan persepsi tidak konsisten dalam menunaikan janji terhadap negeri-negeri Borneo, terutama selepas keputusan Mahkamah Tinggi yang dianggap kemenangan moral buat Sabah.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo