KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) – Malaysia dilihat menanggung komitmen perdagangan luar negara yang jauh lebih besar berbanding faedah diterima daripada Amerika Syarikat (AS), menurut Presiden Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama’ (Geng Ustaz), Ustaz Dr Ahmad Dusuki Abd Rani.
Beliau berkata, komitmen Malaysia berjumlah AS$240 bilion (RM1.14 trilion) di bawah perjanjian perdagangan timbal balik dengan AS dianggap tidak seimbang, walaupun digambarkan sebagai perjanjian yang bersifat reciprocal and balanced trade (perdagangan seimbang dan timbal balik).
“Sebagai perbandingan, Thailand hanya membuat tawaran kepada AS dengan sasaran mengurangkan lebihan dagang (surplus) mereka kepada AS$20 bilion, iaitu 12 kali ganda lebih kecil daripada komitmen Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Dusuki menegaskan, perbezaan besar itu menimbulkan persoalan tentang ‘adam al-tawāzun atau ketidakseimbangan manfaat dalam hubungan perdagangan antarabangsa yang sepatutnya membawa pulangan setara kepada kedua-dua pihak.
Beliau berkata, dari sudut pandangan Islam, perdagangan yang berat sebelah boleh dianggap sebagai ghabn fāḥish (eksploitasi melampau), yang bercanggah dengan prinsip mu‘āmalah ‘ādilah (urusan adil) dalam Islam.
“Dalam konteks mu‘āmalah antarabangsa, negara perlu menepati tiga prinsip utama — menjaga kekayaan negara (ḥifẓ al-māl), mempertahan kedaulatan (ḥifẓ al-dawlah) dan melindungi kemaslahatan rakyat (maṣlaḥah al-‘āmmah),” katanya.
Menurutnya lagi, tindakan Malaysia yang kononnya memperjuangkan kemerdekaan ekonomi di pentas ASEAN tetapi dalam masa sama menandatangani perjanjian perdagangan yang berat sebelah dengan AS menunjukkan percanggahan antara dasar dan amalan.
“Negara jiran seperti Thailand dilihat lebih berhati-hati dan bijak dalam mengatur strategi perdagangan mereka,” katanya sambil menyifatkan keadaan semasa sebagai “mu‘āmalah tidak adil walaupun sah di sisi undang-undang dunia.”
— 1Media.my

No comments
Post a Comment