NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Trump datang, Malaysia serah kekayaan – Hassan bidas perjanjian LNG dengan AS

KUALA LUMPUR, 28 Okt — Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, hari ini mengecam keras langkah kerajaan menandatangani perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) dengan Amerika Syarikat (AS), yang disifatkannya sebagai satu bentuk “penggadaian ekonomi negara”.

Beliau mempersoalkan keputusan Putrajaya menandatangani perjanjian besar itu ketika Presiden AS, Donald Trump, hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, dengan nilai komitmen dilaporkan mencecah RM1 trilion.

“Trump datang, kita serah kekayaan. Selama ini kita lawan penjajahan Belanda, Portugis, Inggeris, tapi kini tanpa sebutir peluru, tanpa senjata, kita menyerahkan ekonomi kita kepada Amerika,” katanya ketika berucap dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Hassan yang juga wakil dari blok kerajaan, berkata perjanjian itu menimbulkan tanda tanya besar terhadap hala tuju dasar ekonomi dan perdagangan negara, khususnya apabila AS dilihat menikmati manfaat jauh lebih besar berbanding Malaysia.

“Satu trilion ringgit diserahkan kepada Amerika, sedangkan dalam negara sendiri kita bergelut isu royalti petroleum, isu hasil negeri yang belum selesai,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana rundingan yang diketuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) boleh membenarkan AS mengenakan syarat terhadap penjualan nadir bumi Malaysia kepada negara itu.

“Mana boleh Amerika kenakan syarat begitu? Ini penggadaian. Apa yang menteri MITI runding sebenarnya?” katanya lagi.

Pendedahan Hassan itu menguatkan persepsi bahawa perjanjian Malaysia-AS lebih berat sebelah, terutama selepas laporan menunjukkan Malaysia membuat komitmen perdagangan bernilai USD240 bilion, manakala Thailand hanya USD20 bilion bagi mengurangkan lebihan dagangan dengan AS.

Menurut Presiden Geng Ustaz, Ustaz Dasuki pula melihat situasi itu sebagai satu bentuk ketidakseimbangan manfaat (‘adam al-tawāzun’), malah boleh disamakan dengan amalan eksploitasi ekonomi (ghabn fāḥish) seperti disebut dalam pandangan Islam.

Dalam kenyataan bersama Rumah Putih kelmarin, kedua-dua kerajaan memaklumkan bahawa perjanjian tersebut akan memperkukuh hubungan ekonomi jangka panjang dan membuka akses pasaran kepada eksport perindustrian dan pertanian AS termasuk bahan kimia, kenderaan, produk tenusu dan beras.

Namun bagi Hassan, apa yang berlaku bukan sekadar urusan perdagangan biasa — tetapi isyarat jelas bahawa Malaysia sedang “menggadai maruah ekonomi” kepada kuasa besar dunia.

“Ini bukan soal diplomasi. Ini soal kedaulatan ekonomi,” katanya.

1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo