KUALA LUMPUR – Ekonomi negara tidak boleh dipulihkan dengan cara memindahkan beban secara senyap kepada rakyat yang semakin tersepit dengan kenaikan kos sara hidup.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr. Armin Baniaz Pahamin sebaliknya berkata, kerajaan perlu menangani krisis yang berlaku dengan segera dan berkesan bagi mengelakkannya berkembang menjadi cabaran yang lebih besar.
Menurut beliau, pendapatan rakyat tidak berkembang seiring dengan kenaikan kos hidup sehingga menimbulkan tekanan terhadap isi rumah walhal mekanisme perlindungan yang menyeluruh masih belum dirasai secara efektif di peringkat akar umbi.
Ujar beliau, kenaikan kos hidup yang sedang berlaku berpotensi menimbulkan krisis kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan untuk mengurus ekonomi secara adil, inklusif dan berkesan.
“Apabila rakyat mula hilang keyakinan terhadap keadilan ekonomi, maka yang terhakis bukan sekadar kuasa beli, tetapi asas kepercayaan terhadap sistem itu sendiri,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook hari ini.
Armin Baniaz selanjutnya berkata, rakyat Malaysia hari ini bukan sekadar berdepan kenaikan harga, tetapi sedang melalui satu perubahan struktur ekonomi yang meningkatkan kos hidup.
Katanya, perkembangan itu mengecilkan kuasa beli dan memberi tekanan yang semakin berat kepada golongan pertengahan serta berpendapatan rendah.
Ujar beliau, rakyat kini menilai melalui pengalaman hidup harian berdasarkan harga barang di pasar, kos makan dan minum di kedai kopi, bil elektrik yang semakin meningkat serta kos pengangkutan untuk berulang-alik bekerja dan menghantar anak ke sekolah.
Katanya, dalam sektor makanan, persatuan peniaga dan laporan media menunjukkan bahawa kos telah meningkat antara 30 peratus hingga 50 peratus dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Jelas beliau, kesan ini dapat dilihat secara langsung pada harga makanan harian, sebagai contoh, harga roti canai yang sebelum ini sekitar RM1.20 kini boleh mencecah RM2.00 hingga RM2.50 di kawasan bandar.
“Pada masa yang sama, tarif elektrik telah meningkat sekitar 14 peratus dalam kitaran pelarasan semasa manakala perbelanjaan subsidi sebelum ini mencecah berbilion ringgit sebelum langkah rasionalisasi dilaksanakan.
“Apa yang sedang berlaku di Malaysia hari ini bukan lagi soal persepsi, tetapi satu realiti ekonomi yang semakin jelas dan tidak boleh disangkal,” ujarnya.
Armin Baniaz seterusnya menyatakan, sejak pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan di bawah kerangka MADANI, negara telah melalui satu gelombang pelarasan dasar yang membawa kepada kenaikan kos hidup secara berlapis, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Ujar beliau, meskipun sebahagian tekanan berpunca daripada faktor global seperti harga komoditi dan kadar pertukaran mata wang, dasar domestik tetap memainkan peranan penting dalam menentukan sejauh mana beban tersebut dipindahkan kepada rakyat.
Jelasnya, penarikan subsidi diesel telah meningkatkan kos bahan api dalam sektor logistik.
Kata beliau, dalam struktur ekonomi Malaysia yang sangat bergantung kepada rangkaian pengangkutan, kenaikan tersebut hampir pasti dipindahkan kepada pengguna melalui harga runcit yang lebih tinggi.
“Pada masa yang sama, pelarasan tarif elektrik telah meningkatkan kos operasi industri dan perniagaan, yang seterusnya memberi kesan rantaian kepada harga barangan dan perkhidmatan.
“Secara keseluruhan, langkah-langkah ini membentuk satu tekanan inflasi yang bersifat menyeluruh dalam ekonomi domestik,” jelas beliau.
Armin Baniaz selanjutnya menyatakan, kerajaan menggunakan istilah seperti `rasionalisasi subsidi’ dan `subsidi bersasar’ untuk menggambarkan pendekatan ini sebagai sebahagian daripada reformasi fiskal yang perlu.
Namun katanya, realiti pelaksanaan menunjukkan bahawa sebahagian besar beban kewangan telah dialihkan secara berperingkat daripada kerajaan kepada rakyat.
Ujar beliau, apa yang dahulu ditanggung oleh negara kini dipindahkan kepada pengguna, sama ada melalui kenaikan harga secara langsung atau melalui kesan rantaian dalam struktur kos ekonomi.
Ujarnya, kesan yang paling membimbangkan ialah berlakunya fenomena yang boleh digambarkan sebagai `inflasi senyap’ atau inflasi berlapis.
“Apabila kos pengangkutan meningkat, harga barang turut naik. Apabila kos tenaga meningkat, harga makanan dan perkhidmatan juga meningkat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment