NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Desakan undur Rafizi alih fokus isu lebih besar dalam PKR -INCOTT



KUALA LUMPUR – Desakan agar Datuk Seri Rafizi Ramli berundur daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menyelesaikan isu sebenar, sebaliknya berpotensi mengalih perhatian daripada cabaran lebih besar yang sedang dihadapi parti itu termasuk kemerosotan sokongan rakyat dan persiapan menghadapi pilihan raya negeri Melaka.

Setiausaha Kehormat Kumpulan Pemikir Penyelarasan India (INCOTT), Muhammad Navalan Abdullah berkata, suara kritikal yang dibawa Rafizi bukan sesuatu yang asing dalam sejarah PKR, tetapi selari dengan semangat reformasi yang menjadi asas perjuangan parti sejak penubuhannya.

Menurutnya, pendekatan untuk menyingkirkan beliau dilihat tidak wajar, sebaliknya parti disaran memahami dan mengangkat semula inti perjuangan yang dibawa, khususnya usaha mengembalikan kekuatan era Reformasi.

“Dalam masa sama, kebimbangan turut disuarakan terhadap penurunan sokongan masyarakat India dan Cina terhadap PKR yang didakwa semakin ketara kebelakangan ini.

“Perkara itu dianggap serius dan memerlukan tindakan segera serta strategi lebih tersusun, termasuk pendekatan menyeluruh di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Navalan mendakwa, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PKR dikatakan berdepan risiko besar termasuk kemungkinan gagal memenangi sebarang kerusi.

Sehubungan itu beliau menasihatkan agar peranan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka perlu diperkasa.

Ini terutama dalam mendekati golongan muda dan komuniti setempat berbanding terus terlibat dalam polemik dalaman yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Situasi itu dilihat sebagai amaran kepada pimpinan parti, khususnya sayap pemuda, agar kembali memberi fokus kepada kerja lapangan dan usaha membina semula keyakinan pengundi.

“Selain itu, persoalan turut dibangkitkan mengenai ketiadaan suara pemimpin muda parti dalam situasi genting ini yang sepatutnya tampil ke hadapan memberikan arah dan inspirasi kepada ahli serta penyokong,” ujarnya.

Muhammad Navalan turut mengingatkan pimpinan agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dengan menekankan kepentingan kebijaksanaan berbahasa bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh serta menjejaskan imej parti.

Secara keseluruhannya tambah beliau, perjuangan PKR tidak harus tertumpu kepada individu semata-mata, sebaliknya perlu kembali kepada prinsip asas keadilan, reformasi dan keberanian untuk berubah di samping memperkukuh sokongan rakyat melalui kerja lapangan yang konsisten. – MalaysiaGazette











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo