NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RM600 juta untuk Sabah: Umpan PRN atau keadilan yang lama ditangguhkan?

Kerajaan Madani dilihat masih “menganaktiri” negeri diperintah PN

PUTRAJAYA, 22 Okt — Ketika suhu politik Sabah semakin panas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), pengumuman kenaikan Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah daripada RM300 juta kepada RM600 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan gelombang persoalan — adakah ini bentuk keadilan fiskal atau umpan politik menjelang PRN?

Anwar menjelaskan bahawa kenaikan itu bukan janji politik, tetapi tanggungjawab tertunggak Persekutuan terhadap negeri di bawah bayu yang lama dipinggirkan.

“Dulu Sabah hanya dapat RM26 juta. Kita naikkan RM300 juta, dan kini RM600 juta. Ini bukan politik, ini keadilan yang lama ditangguhkan,” katanya dalam Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional di Putrajaya hari ini.

Namun, ramai pemerhati melihat masa pengumuman itu — hanya beberapa bulan sebelum PRN Sabah dijangka diadakan — sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pengaruh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di negeri berkenaan.

“Umpan PRN” dan dua wajah pengagihan

Beberapa ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan mengapa kerajaan Madani begitu pantas menunaikan hak Sabah, tetapi negeri diperintah Perikatan Nasional (PN) seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah masih menghadapi kelewatan dan kekangan dana pembangunan.

“Bila negeri bawah PN mohon peruntukan, macam-macam alasan. Tapi bila Sabah — yang bakal hadapi PRN — terus diluluskan RM600 juta. Ini jelas menunjukkan ada pilih kasih politik,” kata seorang Ahli Parlimen PN di lobi Parlimen.

Sumber dalaman kerajaan pula menegaskan, pemberian kepada Sabah dibuat mengikut semakan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, namun tidak menolak kemungkinan ia juga membawa “impak politik positif” kepada kerajaan pusat.

Anwar sindir bekas pemimpin Sabah

Dalam ucapannya, Anwar sempat menyindir beberapa bekas menteri dan perdana menteri terdahulu, yang menurutnya tidak pernah menambah peruntukan Sabah semasa berkuasa.

“Bila pegang kuasa, diam. Sekarang bila kita naikkan, kata kita sogok. Ini bukan soal umpan, ini soal hak negeri,” katanya dengan nada sinis.

Reaksi bercampur di Sabah

Di Sabah, reaksi terhadap pengumuman itu bercampur. Ada yang melihat langkah ini sebagai pengiktirafan terhadap hak Sabah dalam Persekutuan, namun sebahagian rakyat menuduh kerajaan menggunakan bantuan kewangan sebagai gula-gula PRN.

“Bagus kalau betul sampai ke rakyat. Tapi kalau sekadar nak pancing undi, kami dah muak dengan janji manis menjelang pilihan raya,” kata seorang penjawat awam di Kota Belud.

Sementara itu, beberapa pemimpin PN pula menyifatkan langkah kerajaan pusat sebagai “politik dua darjat”, di mana negeri diperintah pembangkang “dianaktirikan” dari segi agihan peruntukan pembangunan.

“Kalau betul nak berlaku adil, naikkan juga peruntukan kepada negeri lain. Jangan hanya kerana Sabah akan mengundi tak lama lagi, semua janji tiba-tiba ditunaikan,” tegas seorang EXCO PN dari Terengganu.

Politik dalam bayangan ekonomi

Kenaikan mendadak ini dilihat sebagai ujian besar terhadap integriti dan keikhlasan kerajaan Madani. Sama ada ia benar-benar membawa kesejahteraan kepada rakyat Sabah, atau sekadar senjata politik menjelang PRN, hanya masa dan pelaksanaan akan membuktikannya.

Buat masa ini, rakyat melihatnya sebagai satu lagi episod lama politik Malaysia:
“yang dekat dengan kuasa disayang, yang jauh dianaktirikan.”

- 1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo