KUALA LUMPUR, 22 Okt — Cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengehadkan rakyat Malaysia kepada hanya dua nombor prabayar bagi setiap syarikat telekomunikasi mencetuskan perdebatan hangat — adakah ini langkah membendung jenayah siber, atau satu lagi bentuk kawalan terhadap kebebasan digital rakyat?
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, cadangan itu kini dalam rundingan awam dan dijangka dimuktamadkan hujung November, sebelum dikuatkuasakan pada suku pertama tahun depan.
“Kita mahu hentikan penyalahgunaan kad SIM untuk penipuan, penyebaran maklumat palsu dan ugutan. Dua nombor bagi setiap telco sudah memadai untuk individu,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Cadangan itu juga menetapkan bahawa warga asing hanya boleh memiliki dua nombor prabayar secara keseluruhan, tanpa mengira syarikat telekomunikasi yang digunakan.
“Dari lima ke dua: kebebasan pengguna makin sempit?”
Di bawah garis panduan sedia ada (sejak 2017), rakyat Malaysia dibenarkan mendaftar sehingga lima nombor bagi setiap syarikat telekomunikasi — bermakna seseorang boleh memiliki lebih 20 nombor sah jika menggunakan pelbagai telco.
Langkah baharu ini akan memotong drastik hak pemilikan nombor sehingga 60%, sesuatu yang ramai pengguna dan peniaga kecil bimbang akan menjejaskan urusan perniagaan dalam talian, penghantaran makanan, dan perkhidmatan gig.
Beberapa aktivis digital turut memberi amaran bahawa sekatan berlebihan seperti ini boleh menjadi “permulaan kepada kawalan data peribadi rakyat” di bawah alasan keselamatan siber.
“Kalau niatnya baik, bagus. Tapi bila kerajaan mula tentukan berapa nombor kita boleh guna, apa jaminan selepas ini mereka tidak kawal aplikasi atau mesej yang kita hantar?” soal seorang juruanalisis keselamatan siber, yang enggan dinamakan.
Langkah kawalan atau keperluan keselamatan nasional?
MCMC mempertahankan langkah ini sebagai keperluan mendesak, dengan alasan peningkatan kes penipuan dalam talian, akaun palsu dan penyalahgunaan identiti melalui nombor prabayar.
Namun, pengkritik menegaskan bahawa masalah sebenar bukan jumlah nombor, tetapi kelemahan pengesahan identiti dan penguatkuasaan terhadap sindiket telekomunikasi.
“Scammer bukan guna kad SIM sendiri. Mereka guna identiti orang lain. Hadkan nombor tak selesaikan punca masalah,” kata seorang pengguna di media sosial.
Antara keselamatan dan kebebasan digital
Rundingan awam MCMC akan berlangsung sehingga hujung November, dan garis panduan baharu dijangka dikuatkuasakan seawal Mac 2026.
Bagi rakyat, persoalan utamanya kini bukan sekadar tentang jumlah nombor yang boleh dimiliki — tetapi sejauh mana kerajaan boleh masuk campur dalam ruang komunikasi peribadi mereka.
- 1Media.my

No comments
Post a Comment