KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) –
Kerajaan menjelaskan bahawa pemilihan peruncit bagi inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terbuka kepada semua peniaga yang memenuhi syarat, bagi memastikan agihan bantuan berjalan secara telus dan menyeluruh.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata penyertaan peruncit tidak terhad kepada rangkaian besar, sebaliknya turut terbuka kepada peniaga kecil termasuk di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, peruncit yang ingin menyertai inisiatif itu perlu berdaftar secara sah dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), menerima bayaran melalui MyKad, serta menyediakan stok barangan yang tersenarai dalam program MyKasih.
“Mereka mesti mematuhi aturan pembayaran SARA, dengan setiap transaksi direkodkan melalui MyKad dan resit disimpan bagi tujuan audit.
Syarat lain termasuk mengambil kira lokasi premis dan jumlah penerima di kawasan berkenaan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PN–Pengkalan Chepa) yang mempersoalkan mekanisme kerajaan dalam melantik vendor serta langkah bagi mengelak monopoli dalam program tersebut.
Lim turut menggalakkan semua ahli Parlimen mengumpulkan senarai peniaga di kawasan masing-masing yang berminat menyertai program berkenaan untuk diserahkan kepada Yayasan MyKasih, bagi tujuan pemprosesan lanjut.Setakat 21 Oktober, sebanyak 8,400 kedai telah menyertai program SARA berbanding hanya 700 pada tahun lalu, jelasnya.
Beliau menegaskan kerajaan kekal komited memastikan peniaga kecil turut menikmati limpahan ekonomi daripada pelaksanaan inisiatif berkenaan.
— 1Media.my

No comments
Post a Comment