NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fadhlina Terima Memorandum Isu Keselamatan Sekolah di Tengah Desakan Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, 22 Okt 2025
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, hari ini menerima memorandum berhubung keselamatan sekolah di luar bangunan Parlimen, di tengah-tengah laungan peserta yang mendesaknya meletak jawatan.

Beliau hadir bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, serta beberapa pegawai keselamatan dan kementerian bagi menerima memorandum daripada kumpulan pelajar, aktivis dan orang awam yang berarak dari Taman Tugu ke Parlimen sekitar jam 11.20 pagi.

Ketegangan tercetus apabila kira-kira 35 peserta himpunan menunggu hampir 40 minit untuk ketibaan Fadhlina, dengan cuaca buruk menambah suasana tegang. Sebaik tiba, laungan “Turun! Turun!” bergema ketika menteri itu menerima dokumen dan berbincang seketika dengan wakil kumpulan berkenaan.

Aktivis Ain Husniza Saiful Nizam, pengasas Pocket of Pink, berkata pihaknya mahukan tindakan konkrit, bukan sekadar janji.

“Jika Fadhlina gagal melaksanakan tuntutan reformasi dalam tempoh 30 hari, beliau perlu berundur dan digantikan dengan seseorang yang mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan,” katanya kepada media.

Fadhlina enggan memberi sebarang kenyataan selepas menerima memorandum tersebut. Sebelum ketibaannya, dua ahli parlimen pembangkang — Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Awang Hashim — sempat menerima memorandum daripada kumpulan berkenaan.

PN gesa sidang khas keselamatan sekolah

Bekas Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal, menyifatkan kebimbangan pelajar dan ibu bapa terhadap peningkatan kes keganasan di sekolah sebagai berasas, dan menzahirkan rasa kecewa terhadap reaksi perlahan kerajaan.

Katanya, PN akan menggesa satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu keselamatan pelajar di seluruh negara.

11 tuntutan utama memorandum

Memorandum yang disediakan oleh Sekretariat Sekolah Selamat menegaskan krisis keselamatan pelajar merupakan “kegagalan sistemik” yang memerlukan reformasi menyeluruh merentas kementerian.

Antara 11 tuntutan utama ialah:

  1. Penggubalan Akta Antibuli Sekolah
  2. Undang-undang khusus menangani gangguan seksual di sekolah
  3. Sokongan mental dan psikososial yang berkesan
  4. Mekanisme laporan mesra kanak-kanak
  5. Audit keselamatan sekolah secara berkala
  6. Pendidikan seks dan kesihatan reproduktif komprehensif
  7. Penilaian kesihatan mental berkala untuk pelajar dan guru
  8. Pendidikan kesejahteraan mental dan kecerdasan emosi dalam kurikulum
  9. Penubuhan Suruhanjaya Sekolah Selamat
  10. Pendekatan berasaskan komuniti dan pencegahan awal
  11. Pengukuhan tanggungjawab antara kementerian melalui dasar bersepadu

-1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo