NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahkamah Tinggi Arah Semakan 40% Hasil Sabah - Keadilan Akhirnya Tiba Selepas 48 Tahun

KOTA KINABALU, 17 Oktober 2025 – Selepas hampir setengah abad menunggu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk melaksanakan semakan baharu pemberian khas 40 peratus hasil negeri seperti diperuntukkan dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Perintah bersejarah itu dikeluarkan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid, yang menegaskan bahawa kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan sejak tahun 1974 merupakan pelanggaran terhadap kewajipan perlembagaan serta bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menjamin hak kewangan Sabah.

Hakim turut mengarahkan kedua-dua kerajaan berunding dalam tempoh 90 hari dari tarikh perintah dikeluarkan dan mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari bagi pelaksanaan bayaran khas berasaskan formula 40 peratus tersebut.

Menurut penghakiman itu, tempoh 48 tahun tanpa sebarang semakan adalah “amat membimbangkan dan tidak munasabah,” manakala hujah Kerajaan Persekutuan bahawa semakan telah dijalankan secara berterusan “tidak disokong dengan bukti konkrit.”

Tindakan semakan kehakiman itu difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) pada Jun 2022 bagi mencabar kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan tanggungjawab perlembagaan terhadap hak hasil Sabah.

Dalam kenyataannya, SLS menyifatkan keputusan tersebut sebagai kemenangan bersejarah dan detik perubahan besar bagi Sabah, kerana mahkamah akhirnya mengesahkan bahawa pemberian khas 40 peratus bukan keistimewaan untuk dirunding, tetapi hak perlembagaan yang dijamin sejak 1963.

“Hari ini, Sabah akhirnya didengar. Keadilan telah ditegakkan dan janji Malaysia akhirnya ditebus,” kata Roger Chin, Immediate Past President SLS.

SLS turut menegaskan bahawa keputusan ini bukan sekadar soal angka atau peratusan, tetapi berkait dengan maruah, keadilan dan penghormatan terhadap kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Mahkamah turut mengiktiraf bahawa tunggakan dari tahun 1974 hingga 2021 merupakan hutang berterusan kepada Sabah yang mesti dibayar sama ada melalui penyelesaian terus atau pampasan perlembagaan.

Selain itu, mahkamah menyatakan bahawa Perintah Semakan 2022 serta perintah-perintah selepasnya adalah cacat dan tidak boleh dijadikan sandaran sehingga kewajipan Persekutuan terhadap Sabah disempurnakan.

Keputusan itu juga mengesahkan bahawa penerimaan bayaran interim sebelum ini tidak menjejaskan hak Sabah, dan bahawa formula asal 40 peratus kekal sah serta mesti dilaksanakan.

SLS menyeru Kerajaan Persekutuan agar menghormati keputusan tersebut tanpa merayu, kerana langkah itu akan membuktikan komitmen sebenar terhadap pelaksanaan MA63.

“Keputusan ini bukan kemenangan menentang Persekutuan — ia kemenangan untuk Persekutuan. Ia menegaskan bahawa perpaduan sejati Malaysia dibina atas asas keadilan dan penghormatan,” tambah kenyataan itu.

Dengan keputusan ini, Mahkamah Tinggi telah mengakhiri ‘tahun-tahun yang hilang’ bagi Sabah, memulihkan hak yang telah lama dinafikan, dan membuka lembaran baharu dalam sejarah hubungan persekutuan-negeri. - 1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo