Oleh: Syahir Sulaiman, Ahli Parlimen Bachok
Belanjawan 2026 dibentangkan dalam suasana politik dan ekonomi yang mencabar, dengan tumpuan yang jelas kepada pemberian insentif dan bantuan kepada rakyat.
Ungkapan “sukacita diumumkan” berulang kali menjadi tema utama, memberi isyarat bahawa ini bukan sekadar belanjawan fiskal, tetapi juga sebuah belanjawan pra-pilihanraya, berdasarkan kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal pada tahun hadapan.
Dari segi asas ekonomi, unjuran pertumbuhan KDNK 2026 antara 4.0 hingga 4.5 peratus menggambarkan pemulihan yang sederhana, lebih rendah daripada sasaran asal dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Walaupun kerajaan menekankan keseimbangan antara pertumbuhan dan kebajikan rakyat, trajektori pertumbuhan sederhana ini menunjukkan ruang fiskal yang terhad untuk merangsang ekonomi secara lebih menyeluruh.
Peruntukan keseluruhan sebanyak RM470 bilion diumumkan, merangkumi RM421.2 bilion perbelanjaan kerajaan dan RM48.8 bilion dana daripada GLC serta GLIC. Kerajaan menyasarkan penurunan defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada KDNK, selaras dengan komitmen di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal.
Pendekatan ini mencerminkan usaha disiplin fiskal yang wajar, namun berisiko mengehadkan ruang bagi pembangunan strategik yang diperlukan untuk menjana pertumbuhan jangka panjang. Malah Belanjawan 2026 dilihat suatu permulaan yang tempang untuk memenuhi aspirasi jangka panjang RMK13.
Dari segi agihan wilayah, tumpuan utama diberikan kepada Sabah dan Sarawak melalui pelbagai projek infrastruktur dan peruntukan khas, yang dilihat berkait dengan persediaan menghadapi pilihanraya negeri (PRN) akan datang.
Sebaliknya, negeri-negeri pembangkang, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, tidak menyaksikan limpahan pembangunan yang seimbang, walaupun negeri-negeri ini masih berdepan kekurangan infrastruktur asas serta kadar kemiskinan relatif yang tinggi.
Dari aspek sosial, peningkatan jumlah dan liputan bantuan tunai seperti STR dan SARA memberi sedikit kelegaan kepada isi rumah berpendapatan rendah, di samping pelbagai subsidi dan bantuan tunai kepada petani, nelayan, OKU dan pelajar sekolah, dan mahasiswa.
Namun, langkah ini tidak menyelesaikan isu struktur seperti ketidakseimbangan gaji, kenaikan harga barangan keperluan dan kekurangan peluang pekerjaan berkualiti. Bantuan tunai tidak boleh dijadikan pengganti kepada reformasi ekonomi yang sebenar dan menyeluruh.
Secara keseluruhan, Belanjawan 2026 mencerminkan dilema kerajaan antara keperluan mengekalkan disiplin fiskal dan tanggungjawab merangsang pertumbuhan.
Walaupun terdapat usaha mengekalkan kestabilan makroekonomi, belanjawan ini masih kekurangan keberanian untuk memperkenalkan reformasi struktur yang lebih mendalam bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh sektor pekerjaan, dan merapatkan jurang pembangunan wilayah.
Secara kebetulan, Bursa Malaysia ditutup lebih rendah sejurus pembentangan Belanjawan 2026 hari ini, sama seperti prestasi Bursa Malaysia selepas pembentangan RMK13 tempoh hari.
Persoalannya, adakah Belanjawan 2026 benar-benar berani membetulkan asas ekonomi negara, atau sekadar menabur ‘bunga-bunga’ menjelang pilihan raya?
Syahir Sulaiman, 10 Oktober 2026, Parlimen

No comments
Post a Comment