KUALA LUMPUR, 18 Okt – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan berlaku kenaikan harga telur ayam di pasaran susulan pemansuhan subsidi serta peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), namun menegaskan kenaikan itu masih dalam kawalan dan tidak membebankan pengguna.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, yang juga mewakili kerajaan dalam isu rasionalisasi subsidi, berkata kenaikan harga telur adalah sekitar RM1.80 bagi setiap papan 30 biji, bersamaan kira-kira enam sen sebiji atau 14.2 peratus.
“Kerajaan mengambil maklum kenaikan ini berpunca daripada pelarasan semula struktur subsidi dan SST. Namun berdasarkan data semasa, harga telur di pasaran masih stabil dan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bagaimanapun, data KPDN yang dikongsikan menerusi portal pemantauan harga menunjukkan harga runcit telur gred A telah meningkat daripada kira-kira RM12.50 kepada RM15.29 bagi satu papan, bersamaan kenaikan RM2.79 atau sekitar 9.3 sen sebiji (21.4 peratus) selepas pemansuhan subsidi penuh berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
Difahamkan, sebelum ini subsidi telur ayam dikurangkan secara berperingkat — daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji bermula 1 Mei 2025 — sebelum dimansuhkan sepenuhnya.
KPDN dalam kenyataan berasingan menjelaskan bahawa bekalan telur masih mencukupi di seluruh negara dan pemantauan berterusan dijalankan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga melebihi kadar wajar.
“Kami menyeru pengguna untuk menyalurkan maklumat kepada KPDN sekiranya berlaku kenaikan harga mendadak yang tidak munasabah di pasaran,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, peniaga dan pengguna di sekitar Lembah Klang ketika ditemui berkata mereka mula merasai kenaikan harga sejak awal Oktober.
“Dulu saya beli telur gred A sekitar RM12 lebih, sekarang sudah lebih RM15 satu papan,” kata seorang peniaga makanan di Cheras.
Kerajaan sebelum ini pernah mengumumkan penurunan harga telur sebanyak tiga sen sebiji pada 2024 sebagai langkah membantu pengguna di bawah inisiatif Madani.
Namun, dengan pemansuhan subsidi tahun ini, pengguna kini berdepan kenaikan antara enam hingga sembilan sen sebiji bergantung kepada gred dan kawasan.
KPDN menegaskan bahawa dasar rasionalisasi subsidi dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan peralihan yang terkawal serta mengurangkan ketirisan dalam pemberian subsidi.-1Media.my

No comments
Post a Comment