KUALA LUMPUR, 31 Okt 2025 – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dikritik kerana didakwa bersikap tidak profesional selepas mengugut seorang wartawan yang menyoal penggunaan bahasa Inggeris dalam program rasmi kementeriannya.
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar, berkata tindakan Kor Ming itu menunjukkan sikap kebudak-budakan dan mencemarkan imej seorang anggota kabinet.
“Ia bukan sahaja tidak wajar dilakukan oleh seorang menteri, malah mencemarkan etika serta maruah pentadbiran kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, dan tidak wajar diketepikan atas alasan komersial atau pelancongan.
“Pelancong datang untuk melihat budaya dan jati diri kita, bukan untuk menyaksikan kita mengorbankan identiti sendiri demi melayan selera luar,” katanya lagi.
Kenyataan itu susulan insiden ketika program pra pelancaran projek “I Lite U” sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, di mana Kor Ming menjelaskan penggunaan bahasa Inggeris kononnya lebih sesuai untuk menarik pelancong antarabangsa.
Namun selepas sesi berakhir, beliau dikatakan memberitahu wartawan Utusan Malaysia bahawa akan menghubungi ketua pengarang akhbar tersebut — kenyataan yang dianggap sebagai ugutan halus terhadap media.
Tindakan itu turut dikecam Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), yang menyifatkannya sebagai cubaan menakut-nakutkan wartawan dan menekan kebebasan media.
Khairul Nadzir turut menuntut permohonan maaf terbuka daripada Kor Ming kepada wartawan berkenaan dan rakyat Malaysia.
“Kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menormalisasikan intimidasi terhadap media atau meremehkan martabat Bahasa Kebangsaan,” tegasnya.
— 1Media.my
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment